Malaysia Aid4Iran satukan NGO, aktivis dan pempengaruh

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, malam tadi di ATSKY Bukit Bintang, Kuala Lumpur menjadi lokasi pertemuan para aktivis kemanusiaan, ‘influencer’, penggerak NGO dan individu yang prihatin terhadap nasib rakyat Iran yang sedang berdepan dengan pelbagai cabaran kemanusiaan.

Program ‘Diskusi dan Minum Kopi Bersama Influencer dan Aktivis Kemanusiaan’ dianjurkan sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai situasi semasa di Iran serta menghimpunkan pelbagai pihak bagi memperkukuhkan jaringan solidariti kemanusiaan melalui inisiatif Aid4Iran.

Saya memulakan ucapan pembukaan dengan menekankan kepentingan umat Islam dan rakyat Malaysia terus mengambil berat terhadap isu-isu kemanusiaan global tanpa mengira sempadan geografi dan perbezaan politik.

- Advertisement -

Saya turut mengajak semua pihak untuk memperkukuhkan semangat solidariti serta menyokong usaha-usaha bantuan kemanusiaan yang berterusan.

Sesi perkongsian utama mengenai situasi semasa di Iran telah disampaikan oleh Prof Dr Kamaruzaman Yusoff yang menghuraikan latar belakang krisis, cabaran yang dihadapi rakyat Iran serta keperluan bantuan kemanusiaan yang masih diperlukan.

Perkongsian beliau membuka ruang kepada para peserta untuk memahami isu tersebut dengan lebih mendalam daripada pelbagai sudut.

Program turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa aktivis kemanusiaan yang terlibat dalam misi Sumud Flotilla, antaranya PU Rahmat, Nor Helmi Abd Ghani, beberapa orang kapten Kapal Sumud serta mekanik kapal yang terlibat secara langsung dalam usaha membawa mesej solidariti kemanusiaan ke peringkat antarabangsa. Kehadiran mereka memberi peluang kepada para peserta mendengar sendiri pengalaman dan cabaran yang dilalui dalam misi-misi kemanusiaan.

Turut hadir memeriahkan program ialah wakil-wakil NGO termasuk Muslim Care Malaysia, Ikhlas Care, Rescue Ummah dan Rahmat Care bersama beberapa pertubuhan lain yang sentiasa komited dalam agenda kebajikan dan kemanusiaan.

Dalam suasana santai sambil menikmati secawan kopi, para peserta bertukar pandangan, berkongsi idea dan membincangkan pelbagai bentuk kerjasama yang boleh digerakkan bagi membantu rakyat Iran serta memperluaskan kesedaran masyarakat terhadap isu kemanusiaan yang berlaku.

Semoga pertemuan ini menjadi titik permulaan kepada jaringan kerjasama yang lebih kukuh dan usaha kemanusiaan yang lebih tersusun pada masa hadapan.

Sesungguhnya setiap kehadiran membawa makna, setiap suara membawa harapan dan setiap tindakan mampu memberi sinar kepada mereka yang sedang memerlukan.

AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Ahli Parlimen Sik – HARAKAHDAILY 11/6/2026

- Advertisement -