Sedia rai pelbagai lapisan masyarakat bersama PAS, PN

Susulan PAS henti kerjasama politik dengan BERSATU

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menifatkan keputusan PAS menghenti kerjasama politik dengan BERSATU sebagai langkah strategik memperkukuh penyatuan ummah serta memperkemas persiapan menjelang PRU16.

Ketuanya, Azmer Syazwan Ahmad Suparmin berkata, pihaknya menyokong sepenuhnya keputusan PAS Pusat yang memperakukan ketetapan Majlis Syura Ulama PAS berhubung hala tuju kerjasama politik antara kedua-dua parti.

- Advertisement -

Menurut beliau, keputusan tersebut mencerminkan ketegasan PAS dalam mempertahankan prinsip perjuangan Islam dan memastikan setiap tindakan politik dibuat berasaskan pertimbangan yang menyeluruh.

“PAS sentiasa meletakkan prinsip Islam, maslahah ummah dan kepentingan negara sebagai asas utama dalam setiap pertimbangan politik.

“Keputusan yang dibuat bukan berasaskan sentimen atau emosi, sebaliknya melalui penelitian terhadap laporan, kajian dan penilaian semasa yang telah dibentangkan kepada kepimpinan parti,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, keputusan itu selari dengan tuntutan syarak yang menekankan kerjasama atas dasar kebajikan dan ketakwaan demi kepentingan umat Islam.

“Firman Allah SWT dalam Surah al Maidah ayat 2 mengingatkan umat Islam supaya saling membantu dalam perkara kebajikan dan ketakwaan serta tidak bekerjasama dalam perkara yang membawa kepada dosa dan permusuhan.

“Prinsip inilah yang menjadi panduan kepada PAS dalam menentukan sebarang bentuk hubungan dan kerjasama politik,” ujarnya.

Azmer berkata, keputusan tersebut tidak seharusnya ditafsirkan sebagai tindakan memutuskan hubungan dengan mana-mana pihak, sebaliknya langkah memperkukuhkan kedudukan PAS sebagai parti yang konsisten memperjuangkan agenda penyatuan ummah.

Tambahnya, PAS akan terus berpegang kepada pendekatan politik matang dan sejahtera serta terbuka kepada ruang persefahaman yang membawa manfaat kepada rakyat dan negara.

Dalam menghadapi PRU16, beliau menyeru seluruh kepimpinan dan anggota Pemuda PAS di Wilayah Persekutuan agar memperkukuhkan kesatuan, disiplin dan gerak kerja parti.

Menurutnya, usaha penerangan kepada masyarakat juga perlu dipertingkatkan supaya rakyat memahami pendirian serta keputusan yang dibuat oleh kepimpinan PAS.

“Pemuda PAS perlu berada di hadapan menjelaskan dasar dan pendirian parti kepada rakyat. Kita perlu memperluaskan jaringan bersama golongan muda, profesional dan aktivis masyarakat supaya lebih ramai memahami agenda perjuangan Islam dibawa PAS,” ujarnya.

Beliau berkata, PAS Wilayah Persekutuan akan terus memberi perhatian terhadap isu rakyat termasuk kos sara hidup, tekanan ekonomi bandar, masalah perumahan, peluang pekerjaan dan keadilan sosial yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan warga kota.

Pada masa sama tambahnya lagi, pihak beliau menyambut baik kesediaan pelbagai lapisan masyarakat untuk bersama PAS dalam usaha membina masa depan negara yang lebih baik.

“Menjelang PRU16, seluruh kekuatan ummah perlu digembleng dan disatukan. Kami yakin dengan kepimpinan ulama, kesatuan saf perjuangan dan sokongan rakyat, PAS mampu terus memainkan peranan penting dalam membawa penyelesaian kepada pelbagai isu yang dihadapi negara,” katanya.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengumumkan PAS memuktamadkan keputusan menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, 8 Jun lalu.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pertimbangan dasar, hukum dan maslahah serta meneliti laporan dan kajian menyeluruh berhubung perkembangan mutakhir melibatkan parti tersebut. – HARAKAHDAILY 11/6/2026

- Advertisement -