Perkembangan terkini perang Iran – AS dan negara haram Israel

- Advertisement -

AWAL pagi tadi (waktu tempatan) Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam sidang medianya di Rumah Putih menyatakan malam ini Amerika Syarikat akan kembali menyerang Republik Islam Iran dengan lebih agresif.

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth dalam sidang medianya berkata, ‘serangan Amerika Syarikat kali ini bukan bermakna memulakan kembali perang, tetapi adalah untuk membuatkan Republik Islam Iran menerima syarat-syarat Amerika Syarikat dalam perjanjian. Jika Amerika Syarikat perlu berunding menggunakan bom, kita akan menggunakan bom’.

Serangan ini menyasarkan bandar-bandar pesisir pantai di Selatan Republik Islam Iran antaranya Bandar Abbas, Sirik, Bandar Kangan, Pulau Qeshm dan Pulau Hengam yang menempatkan pengkalan tentera laut Iran atau IRGC. Turut menjadi sasaran adalah Bushehr, Karaj, Gamsar dan Varamin.

- Advertisement -

Dalam masa sama, Donald Trump menyatakan kepada Fox News jika Republik Islam Iran gagal menandatangani perjanjian, Amerika Syarikat akan menyerang dan mengebom lagi pada keesokkan hari. Beliau turut menambah bahawa beliau telah bercakap secara terus dengan pegawai tertinggi Republik Islam Iran yang kemudiannya meminta Amerika Syarikat agar menghentikan pengeboman, dan dinafikan oleh Republlik Islam Iran.

IRGC mengumumkan bahawa Selat Hormuz ditutup sepenuhnya dan tidak membenarkan satu kapal pun melaluinya, dalam masa sama menyatakan akan memulakan operasi memasang ‘periuk api’ dalam skala yang besar di Selat Hormuz.

Media negara haram Israel, Yedioth Ahronoth mendakwa bahawa, peluru berpandu hipersonik Iran telah berjaya menyasarkan sebuah kapal perang Amerika Syarikat. Sistem pertahanan udara Iran juga telah berjaya menembak jatuh sebahagian besar peluru berpandu yang disasarkan ke atas Republik Islam Iran.

Tentera Iran atau IRGC mula menyerang balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu balistik dan dron yang disasarkan ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat di Erbil, wilayah Kurdistan, Iraq, kapal perang Amerika Syarikat di Laut Oman serta ibu pejabat tentera laut Amerika Syarikat (5TH Fleet) dan sistem radar Patriot di Manama, Bahrain.

CENTCOM baru sahaja mengumumkan bahawa ia telah menamatkan serangan ke atas Republik Islam Iran. Namun dipercayai Tentera Iran atau IRGC bakal melancarkan lagi serangan balas ke atas aset-aset tentera Amerika Syarikat.

“Bebaskan Masjid Al-Aqsa, Merdekakan Palestin”

DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Buruk
25 Zulhijjah 1447H / 11 Jun 2026 – HARAKAHDAILY 11/6/2026

- Advertisement -