
KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Roslan Shahir Mohd Shahir melihat, wujudnya semangat persamaan antara kenyataan kepemimpinan PAS dan Umno yang boleh membuka ruang kepada jajaran kerjasama politik baharu menjelang pilihan raya akan datang.
Menurutnya, perkembangan itu berpotensi menjadi isyarat awal kepada usaha penyatuan yang sekian lama dinantikan oleh sebahagian rakyat, khususnya dalam kalangan umat Melayu Islam di negara ini.
“Saya perhatikan ada semangat persamaan antara kenyataan Presiden PAS selepas mesyuarat PAS Pusat Isnin lepas dan Setiausaha Agung Umno selepas mesyuarat MT (Majlis Tertinggi) Umno semalam.
“Adakah ini jajaran baharu yang dinanti-nantikan rakyat jelata?” soal beliau dalam media sosial miliknya, hari ini.
Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Presiden PAS menyebut hasrat untuk ‘meneroka satu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya (electoral pact) demi penyatuan ummah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum ke-16’.
Pada masa sama, beliau turut merujuk kenyataan Setiausaha Agung Umno yang menyebut bahawa ‘Umno terbuka kepada apa jua bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak demi kestabilan politik negara dan kesejahteraan negara, apa jua bentuk kerjasama mesti dilandaskan kepada prinsip keikhlasan dan kepercayaan’.
Roslan menyatakan, kenyataan yang dikeluarkan kedua-dua parti itu memperlihatkan kesediaan untuk meneroka ruang persefahaman demi kepentingan yang lebih besar.
Beliau juga berpandangan bahawa aspirasi ke arah penyatuan itu selari dengan harapan rakyat yang mahukan kepemimpinan Melayu Islam mengetepikan perbezaan demi kepentingan bersama.
“Sesungguhnya inilah yang rakyat, khususnya umat Melayu Islam di luar sana mahu lihat. Dalam keadaan suasana politik yang tidak menentu, status dan kedudukan agama, bangsa Melayu serta Bumiputera, Raja-raja Melayu dicabar dan diungkit-ungkit.
“(Termasuk) keadaan ekonomi semakin menekan hidup, pimpinan dan parti-parti Melayu Islam sanggup mengenepikan perbezaan, ikhlas mencari persamaan untuk bangkit membela dan mempertahankan kepentingan ummah,” ulas beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa rakyat ketika ini mengharapkan pembelaan yang lebih berkesan daripada pemimpin politik.
“Rakyat dahaga untuk dibela setelah terumbang-ambing hidup ditipu selama ini. Kita pimpinan jangan sesekali mengecewakan mereka lagi.
“Tunjukkan kesungguhan mahu bersatu, bukan kerana individu atau kelompok tertentu, tetapi kerana maruah dan harga diri bangsa dan agama,” ujarnya.
Roslan menyatakan bahawa agenda penyatuan ummah tidak seharusnya dilihat sebagai tuntutan mana-mana pihak semata-mata, sebaliknya berlandaskan tuntutan agama.
“Agenda penyatuan ummah ini bukan tuntutan sesiapa tetapi ia perintah Allah SWT. Semoga semua berjalan lancar, semoga jadilah kita dengan kurnia nikmat Allah orang-orang Islam yang bersaudara,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/6/2026











