
KUALA LUMPUR: Corak pemikiran politik generasi muda Malaysia, khususnya dalam kalangan masyarakat Cina, kini sedang melalui fasa transformasi yang lebih matang dan terbuka untuk mengenali PAS secara dekat.
Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Melaka, Dr Shawn Loh Sheng Nian berkata, dakwaan kononnya golongan muda etnik berkenaan takut kepada PAS merupakan persepsi sengaja dimainkan pihak tertentu bagi mencetuskan prasangka.
Beliau yang juga menjelaskan, generasi baharu kini lebih cenderung memilih pemimpin berdasarkan merit, wibawa dan keupayaan menyelesaikan masalah berbanding sekadar bersandarkan faktor warna kulit atau label kaum.
“Anak muda hari ini tidak takut mengenali kebenaran, mereka hanya takut diperdaya oleh prasangka. Mereka memilih untuk mendekati, bukan menjauhi. Mereka memilih untuk berdialog, bukan bermusuhan,” katanya.
Beliau terdahulu menghadiri majlis pelancaran buku baharu Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini Ahad lalu.
Kempen “PAS for All” (PAS Untuk Semua) merupakan antara pendekatan inklusif yang digerakkan oleh PAS dalam menepis momokan mengenai sentimen perkauman dan keagamaan yang sering dilemparkan oleh parti saingan.
Seiring dengan kematangan landskap politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan pelaksanaan pendaftaran pengundi automatik 18 tahun, segmen pengundi muda bukan Melayu menjadi sasaran strategik bagi setiap blok politik.
Keberadaan kaum bukan Melayu di dalam struktur PAS dilihat sebagai jambatan bagi menarik sokongan kelompok atas pagar menerusi platform dialog yang rasional dan penyampaian dasar makro.
Tolak politik toksik, provokasi melampau
Dr Shawn Loh menggariskan tiga fokus utama berhubung dinamika belia hari ini, antaranya penolakan terhadap pemikiran politik lama dan peralihan ke arah menilai visi strategik seseorang tokoh.
Beliau menyelar tindakan segelintir pihak di mana menganggap penguasaan teori akademik di atas kertas sudah memadai untuk melayakkan individu berkenaan mentadbir sebuah kerajaan yang kompleks.
“Politik dan alam persekolahan adalah dua perkara yang jauh berbeza. Realiti pentadbiran negara amat kompleks dan tidak boleh diselesaikan hanya dengan formula atau doktrin yang kaku.
“Seorang pemimpin berwibawa harus berpengetahuan luas, menyelami denyut nadi masyarakat, memahami keperluan sebenar setiap lapisan rakyat, serta memiliki kecerdasan emosi (EQ) dan keupayaan pengurusan krisis yang tinggi,” tegasnya.
Dr Shawn Loh juga menyifatkan keupayaan menghafal teori semata-mata tidak mencerminkan kebijaksanaan tadbir urus yang makro.
Di samping itu, beliau menegaskan bahawa anak muda era baharu amat membenci budaya politik toksik seperti amalan provokasi, ‘baling lumpur’, mahupun taktik yang gemar melakukan serangan peribadi (personal attack).
Sebaliknya, golongan belia masa kini mendambakan barisan kepimpinan yang mampu mengemukakan hujah berasaskan dasar binaan negara serta mengutamakan ketelusan maklumat.
“Hanya pemimpin yang menghormati kepelbagaian serta menyayangi negara dan rakyat yang akan mendapat tempat di hati anak muda,” katanya lagi.
Beliau menyeru agar sebarang keengganan untuk memahami dalam kalangan masyarakat majmuk digantikan dengan keterbukaan demi membina keharmonian dan kemakmuran masa depan bersama di bawah prinsip “PAS for All“. – HARAKAHDAILY 11/6/2026











