
MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengesahkan akan menghadiri Majlis Konvensyen RESET yang dijadual berlangsung di Tanah Merah, Kelantan, esok.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, beberapa pengumuman penting dijangka dibuat pada program berkenaan.
“Esok ada majlis di Tanah Merah. Insya-Allah saya akan umumkan beberapa perkara esok,” katanya ketika ditemui pemberita di Rusila selepas Kuliah Dhuha, di sini hari ini.
Ditanya sama ada benar berlaku pertemuan sebelum ini, beliau mengesahkannya, namun tidak memperincikan kandungan perbincangan tersebut.
“Ya, ada perjumpaan,” katanya ringkas.
Bagaimanapun, beliau yang juga bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah menegaskan tiada sebarang isu timbul daripada pertemuan berkenaan.
“Tak ada,” ujarnya.
Pada 14 Februari lalu, Dato’ Seri Hamzah Zainudin melancarkan gerakan ‘RESET’ bersama beberapa Ahli Parlimen dan penyokong akar umbi, sehari selepas beliau dipecat serta keahliannya digugurkan daripada BERSATU.
Beliau juga menyatakan kesediaan untuk memimpin gerakan tersebut berasaskan konsensus nasional baharu.
Dalam perkembangan berkaitan, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut itu dijangka akan mengumumkan penyertaannya ke dalam sebuah parti politik pada Sabtu ini.
Untuk rekod, acara Konvensyen ‘RESET’ Malaysia bakal berlangsung di Tapak Ekspo Kota Harmoni, Tanah Merah, Kelantan pada Sabtu ini jam 12.30 tengah hari. – HARAKAHDAILY 12/6/2026











