
KUALA LUMPUR: PAS mendesak pembebasan segera kesemua aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla, termasuk 16 delegasi Malaysia, yang dilaporkan telah ditahan oleh tentera laut rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa, petang semalam.
Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan tindakan agresif mengepung, memintas, dan menahan konvoi kapal bantuan aman tersebut sebagai satu bentuk pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa serta prinsip asas kemanusiaan sejagat.
Menurut maklumat daripada Sumud Nusantara Command Center (SNCC), sebanyak 18 kapal flotilla yang membawa kira-kira 150 aktivis antarabangsa dari pelbagai negara telah diganggu oleh aset ketenteraan Israel ketika dalam perjalanan membawa bantuan serta mesej solidariti ke Gaza.
“Lujnah Antarabangsa PAS Pusat memandang amat serius tindakan terbaru tentera rejim Zionis Israel yang dilaporkan telah menyerbu, mengepung dan menahan aktivis antarabangsa Global Sumud Flotilla termasuk peserta dari Malaysia dalam satu operasi agresif di perairan antarabangsa.
“Menurut maklumat awal, kapal-kapal flotilla tersebut telah dikepung dan dihampiri oleh aset ketenteraan Israel termasuk bot taktikal berkelajuan tinggi, kapal perang dan unit keselamatan khas Israel walaupun konvoi tersebut berada di kawasan perairan antarabangsa.
Tindakan intimidasi terhadap sukarelawan awam yang tidak bersenjata ini jelas merupakan satu pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip asas kemanusiaan sejagat,” katanya selaku Pengerusi Lujnah Antarabangsa PAS Pusat.
Insiden penahanan kapal flotilla kemanusiaan oleh tentera Israel di perairan antarabangsa ini mengulangi peristiwa paling tragis membabitkan serbuan ke atas kapal Mavi Marmara pada tahun 2010 yang mengorbankan sembilan aktivis.
Misi Global Sumud Flotilla 2026 menyusuli misi-misi terdahulu digerakkan oleh gabungan badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa ekoran situasi kemanusiaan di Semenanjung Gaza yang dilaporkan semakin kritikal.
Sekatan ketat berterusan oleh rejim Zionis telah menyebabkan krisis kebuluran yang parah, selain kemusnahan infrastruktur kesihatan dan fasiliti awam, sekali gus mendorong sukarelawan global melancarkan misi maritim untuk memecahkan kepungan bagi menghantar bantuan asas secara terus melalui jalan laut.
Dr Muhammad Khalil menegaskan bahawa tindakan menggunakan bot taktikal, kapal perang, dan unit keselamatan khas ke atas sukarelawan tidak bersenjata menunjukkan ketakutan rejim terhadap kebangkitan kesedaran global.
Beliau membidas tindakan dunia yang setakat ini dilihat gagal mengenakan hukuman setimpal, sekali gus menyebabkan rejim tersebut terus bertindak seolah-olah mereka kebal daripada tindakan undang-undang.
“Apa yang berlaku hari ini membuktikan bahawa Israel bukan sahaja sedang memerangi Gaza, bahkan sedang mengisytiharkan permusuhan terhadap seluruh suara kemanusiaan dunia.
“Kapal yang membawa aktivis awam tanpa senjata telah dilayan seolah-olah ancaman ketenteraan. Ini merupakan satu tindakan pengecut dan melampau yang memperlihatkan ketakutan Israel terhadap kebangkitan solidariti antarabangsa terhadap Palestin,” jelas beliau.
Sehubungan itu, PAS menggesa komuniti global agar beralih daripada sekadar mengeluarkan kenyataan diplomatik yang lemah kepada tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas di mana PAS telah mengemukakan desakan segera.
Iaitu pembebasan segera semua aktivis Global Sumud Flotilla yang ditahan termasuk 16 delegasi Malaysia serta menggesa Kerajaan Malaysia mengambil langkah diplomatik dan tekanan antarabangsa secara lebih agresif terhadap Israel.
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), ASEAN, dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga didesak mengadakan sidang tergempar berkaitan pencabulan terbaharu ini, selaim satu tekanan antarabangsa diwujudkan bagi membuka laluan bantuan kemanusiaan secara berterusan ke Gaza tanpa gangguan Israel.
Ustaz Muhammad Khalil turut merakamkan setinggi-tinggi penghormatan kepada seluruh delegasi yang terlibat atas keberanian mereka menentang kezaliman di tengah-tengah sikap membisu sebahagian besar masyarakat dunia.
“Perjuangan membela Palestin tidak akan berhenti. Kepungan boleh diperketat, kapal boleh ditahan, aktivis boleh digari — namun semangat menuntut kebebasan untuk Gaza tidak akan pernah dipadamkan.
“Gaza bukan bersendirian. Suara rakyat dunia akan terus memecahkan tembok ketakutan dan kezaliman Zionis,” katanya dalam kenyataan tersebut. – HARAKAHDAILY 19/5/2026











