Adakah tadbir urus Kerajaan P Pinang sedang ‘sakit’?

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Mohamad Shukor Zakariah (PN-Pulau Betong) membangkitkan pelbagai permasalahan kritikal melibatkan kebajikan rakyat Pulau Pinang khususnya para penduduk di Balik Pulau.

- Advertisement -

Antara diketengahkan oleh beliau termasuk masalah jalan rosak, banjir, projek perumahan sakit, tekanan air rendah serta bantahan terhadap pembinaan asrama pekerja asing.

Beliau berkata, warga penduduk di kawasan itu semakin terpinggir apabila pelbagai isu asas masih gagal diselesaikan secara berkesan oleh pihak kerajaan negeri.

Shukor menegur keadaan Klinik Kesihatan Air Putih yang baharu disiapkan pada Februari 2024 dengan kos RM30 juta, tetapi sudah mengalami masalah kebocoran siling.

“Tak sampai dua tahun sudah rosak. Ini menunjukkan kelemahan dari sudut pemantauan dan penyelenggaraan,” ujar beliau dalam perbahasan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Isnin lalu.

Dalam isu banjir, beliau mendesak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melakukan kerja pembersihan berkala di Sungai Nipah yang didakwa kembali tersumbat hanya lima bulan selepas kerja pembersihan dilaksanakan.

Katanya, keadaan sungai yang dipenuhi tumbuhan liar menyebabkan banjir berulang sehingga menjejaskan tanaman penduduk termasuk durian, nangka, cempedak dan pisang.

Mohd Shukor turut mempersoalkan kelewatan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Burung membabitkan dua pakej bernilai RM5 juta dan RM15 juta yang didapati gagal disiapkan mengikut jadual asal.

Dalam isu perumahan pula, beliau meminta penjelasan kerajaan negeri mengenai Projek Quinton yang dikategorikan sebagai projek sakit sejak lebih lapan tahun lalu.

Beliau berkata, pembeli projek itu hanya menerima 60 peratus bayaran balik sekiranya memilih untuk menarik diri daripada pembelian.

Shukor turut mengulangi pendirian penduduk Teluk Kumbar yang menolak cadangan pembinaan asrama pekerja asing kerana tidak memberi manfaat kepada masyarakat tempatan.

Sebagai alternatif katanya, kerajaan boleh mempertimbangkan model penempatan pekerja asing seperti di Kulim Hi-Tech Park yang menempatkan kilang dan asrama dalam satu kawasan industri tertutup.

Masalah tekanan air rendah di beberapa flat termasuk Flat Lili, Flat Taman Seri Indah dan Flat Hijau turut dibangkitkan dengan gesaan supaya kerajaan negeri segera menyelesaikan isu berkenaan.

“Kalau perumahan sakit, RTB sakit, klinik sakit, maka pengurusan juga sedang sakit. Rakyat tidak boleh terus menanggung penderitaan akibat kelemahan pentadbiran,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan negeri perlu lebih adil dalam merancang pembangunan di Balik Pulau supaya kawasan itu tidak terus dianaktirikan berbanding kawasan lain di Pulau Pinang. – HARAKAHDAILY 18/5/2026

- Advertisement -