
KOTA KINABALU: Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menegaskan kepentingan memahami dan menghayati perlembagaan parti.
Ini, menurutnya sebagai asas memperkukuh organisasi serta mempersiapkan jentera parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Beliau berkata, pelaksanaan mesyuarat agung mengikut tatacara yang ditetapkan dalam perlembagaan bukan sekadar memenuhi tuntutan organisasi, bahkan merupakan sebahagian daripada amanah jamaah yang perlu dilaksanakan dengan penuh disiplin dan tanggungjawab.
“Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, ketujuh-tujuh Dewan Muslimat PAS Kawasan Pantai Barat Negeri Sabah ini telah pun menjalankan amanah yang ditetapkan oleh perlembagaan kita.
“Semoga Allah SWT mempermudahkan pula pelaksanaan mesyuarat agung di peringkat kawasan-kawasan nanti mengikut apa yang dikehendaki oleh perlembagaan kita,” katanya.
Beliau menyatakan demikian semasa merasmian Mesyuarat Agung Serentak Dewan Muslimat PAS Kawasan Zon Pantai Barat Negeri Sabah, di Pejabat Pusat Khidmat ADUN Karambunai, dekat sini, semalam. Turut hadir ialah Pesuruhjaya dan Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, Datuk Dr Aliakbar Gulasan dan Norsah Bongsu.
Menurut Nuridah lagi, pengurusan organisasi yang tersusun merupakan antara ciri kemenangan yang dijanjikan Allah SWT dalam Surah As-Saff ayat 4, justeru setiap pimpinan dan ahli perlu sentiasa merujuk kepada perlembagaan dalam melaksanakan gerak kerja jamaah.
Tambahnya, setiap pindaan dan pelaksanaan prosedur dalam parti juga perlu dilaksanakan melalui syura serta musyawarah, selaras dengan tuntutan Islam dalam memastikan keberkatan dan kejayaan perjuangan.
Beliau turut mengingatkan bahawa kekuatan organisasi di peringkat cawangan dan kawasan amat penting, khususnya selepas PAS Sabah terus berkembang termasuk dengan penubuhan Dewan Muslimat PAS kawasan baharu seperti di Sipitang.
“Menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan cawangan-cawangan melaksanakan mesyuarat agung dan memperkukuh organisasi, kerana semua ini akan dinilai, bukan sahaja oleh manusia, tetapi juga di sisi Allah SWT.
“Bersama PAS, kita mesti memahami perlembagaan parti. Dasar PAS adalah Islam, dan perjuangan kita adalah untuk menegakkan nilai-nilai hidup Islam dalam masyarakat dan pemerintahan,” ujarnya.
Beliau berkata, matlamat perjuangan PAS bukan sekadar mencapai kemenangan politik, tetapi memastikan nilai dan hukum Islam dapat ditegakkan dalam pemerintahan demi generasi akan datang. – HARAKAHDAILY 18/5/2026











