
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu mahu melahirkan masyarakat yang bukan sahaja celik akademik, malah mempunyai kesedaran tinggi terhadap isu ummah serta berani mempertahankan agama dan umat Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, generasi muda hari ini perlu dibentuk menjadi kelompok yang memahami perjuangan Islam dan tidak sekadar pandai berbicara.
“Kita mahu melahirkan masyarakat yang sedar tentang isu ummah. Masyarakat yang bukan hanya celik akademik, tetapi celik perjuangan.
“Kita mahu membina generasi yang bukan hanya pandai bercakap, tetapi berani bertindak mempertahankan agama dan umat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Training Of Society: Luka Umat, Tanggungjawab Kita serta pelancaran Sahabat Duat, di Dewan Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini.
Turut hadir, mantan Naib Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia yang juga Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ustaz Mohd Zulkhairi Ngah; dan Pengarah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT), Mohd Zaini Mohd Nor.
Menurut Muhammad Khalil, program yang dianjurkan Akademi DUAT dengan kerjasama NGO Iman Care, Cinta Gaza Malaysia serta beberapa agensi kerajaan negeri dan jabatan berkaitan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memberi pendedahan kepada masyarakat khususnya golongan pendakwah mengenai isu umat Islam sejagat termasuk Palestin.
“Program ini bukan sekadar majlis ilmiah tetapi merupakan lambang kesungguhan kerajaan negeri yang begitu komited dalam memberi pendedahan kepada para daie untuk melahirkan masyarakat yang celik isu ummah dan masyarakat yang tidak buta sejarah, masyarakat yang berani bersuara mempertahankan kebenaran dan masyarakat yang memahami bahawa membantu Palestin bukan pilihan tetapi tanggungjawab.
“Program pada hari ini adalah suatu inisiatif yang amat positif dan proaktif dalam melaksanakan maksud tersebut. Sesungguhnya Allah mewajibkan adanya kumpulan Islam yang menyelamatkan dunia.
“Sebagaimana Firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran yang bermaksud dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma‘ruf dan mencegah daripada yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung.
“Wajib kepada mereka yang beriman mengadakan kumpulan yang bersatu membawa Islam yang sempurna bagi menyelamatkan manusia, sehingga berkuasa memerintah dan menyuruh kepada yang baik dan berkuasa mencegah yang jahat dan zalim, serta dijanjikan kemenangan oleh Allah.
“Lahirnya kumpulan Islam menentang Israel di Palestin dan negara jiran yang bergabung dalam satu jemaah (Muqawamah Islamiyyah), yang mendapat sokongan kumpulan Islam di seluruh dunia. Negara Arab dan Islam wajib bersama menentang kezaliman terbuka yang berlaku terhadap umat Islam di Palestin yang menjadi masalah agama, bukan lagi masalah mazhab,” katanya.
Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu buruk berkata, pemerkasaan dan perkaderan pendakwah menjadi antara agenda utama kerajaan negeri melalui pelbagai usaha bersepadu menerusi agensi dakwah dan pihak berkaitan.
“Bertepatan dengan itu penganjuran program Training of Society ini sangat penting. Kita mahu melahirkan masyarakat yang sedar tentang isu ummah,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pelancaran Sahabat Duat juga menjadi langkah baharu dalam memperkukuh gerakan dakwah masyarakat di Terengganu.
Katanya, Sahabat Duat berfungsi sebagai jaringan sukarelawan dakwah yang membawa masyarakat kembali memahami Islam serta meningkatkan kesedaran terhadap isu ummah.
“Kita tidak mahu dakwah hanya bergerak di pentas-pentas ceramah semata-mata. Kita mahu dakwah hidup dalam masyarakat. hidup di sekolah, kampus, jalanan, media sosial, tempat kerja dan dalam kehidupan anak muda.
“Tinggi menggunung impian saya untuk melihat setiap sisi hidup rakyat di Terengganu berpandukan syariatullah.
Kerajaan negeri akan sehabis daya mengikuti manhaj Nubuwwah, sebagaimana 23 tahun Baginda Nabi saw menyebar dan menyampaikan dakwah Islam tanpa jemu dan putus asa,” katanya.
Beliau dalam masa sama merakamkan ucapan tahniah dan jutaan penghargaan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.
“Konklusinya, saya mengharapkan program pada hari ini menatijahkan 1001 makna dan manfaat kepada kita semua sejajar dengan dasar kerajaan yang memasakkan agenda dakwah di tangga tertinggi pemerintahan bagi seluruh pelusuk bumi Darul Iman,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/5/2026











