15 Mei: Hari ‘terkuburnya’ Dasar Pendidikan Kebangsaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pakar Pendidikan, Dr Anuar Ahmad mengusulkan 15 Mei 2026 sebagai tarikh rasmi ‘terkuburnya’ dokumen Dasar Pendidikan Kebangsaan.

- Advertisement -

Menurut beliau, cadangan itu timbul susulan, bahawa dasar pendidikan kebangsaan sudah tidak lagi dihormati apabila kerajaan mengambil keputusan mengiktiraf sebahagian Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

“Bolehkah kalau saya usulkan 15 Mei 2026 adalah tarikh rasmi terkuburnya dokumen Dasar Pendidikan Kebangsaan? Saya hanya mampu bertanya dan mengusulkan.

“Lagipun, saya peduli apa kalau dasar pendidikan kebangsaan yang sudah tidak dihormati ini ‘terkubur’. Biar sajalah ia terkubur.

“Ibarat kata orang tua, ‘daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik mati berkalang tanah’,” tegas beliau dalam media sosial miliknya.

Dr Anuar menjelaskan, sekurang-kurangnya tarikh ‘matinya’ dokumen itu akan diingati generasi akan datang pada setiap 15 Mei, iaitu sehari sebelum sambutan Hari Guru pada 16 Mei.

Beliau menegaskan, dokumen Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah dokumen rasmi pendidikan negara dan menjadi bukti kewujudan sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia.

“Semua dasar pendidikan negara yang terkandung di dalam dokumen ini sepatutnya dipertahankan oleh setiap warganegara Malaysia,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut membangkitkan persoalan mengenai keputusan mengiktiraf UEC walaupun sebahagian, sedangkan dokumen rasmi Dasar Pendidikan Kebangsaan menyatakan secara jelas tidak mengiktiraf UEC.

“Bolehkah hari ini kita bersetuju dengan keputusan mengiktiraf UEC (walaupun sebahagian) sedangkan dokumen rasmi Dasar Pendidikan Kebangsaan sendiri menyatakan secara jelas tidak mengiktiraf UEC? Mana satu yang kita patut ikut?” soalnya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membenarkan lepasan tahfiz dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) atau UEC memohon program tertentu di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berdasarkan keputusan Jemaah Menteri bagi memperluas akses pendidikan tinggi.

Menurutnya, calon yang memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh boleh memohon melalui UPUOnline mengikut syarat dan merit yang ditetapkan.

Sementara beliau menjelaskan bahawa calon yang mengambil Bahasa Melayu dan Sejarah di bawah Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) juga boleh dipertimbangkan untuk program tertentu.

KPT mendakwa bahawa pelaksanaan itu bertujuan menjadikan pendidikan tinggi lebih inklusif tanpa menjejaskan standard akademik IPTA. –
HARAKAHDAILY 18/5/2026

- Advertisement -