
KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad bertindak menyertai parti baharu disifatkan sebagai satu langkah ‘kamikaze’ yang bakal memberi saingan lebih sengit kepada Pakatan Harapan (PH) berbanding Perikatan Nasional (PN).
Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, jangkaan itu bersandarkan kepada strategi parti baharu berkenaan yang dilaporkan dinamakan sebagai BERSAMA, kerana ia menyasarkan segmen pasaran pengundi yang sama dengan PH.
Beliau yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS berpandangan demikian berikutan kedua-dua bekas pemimpin PKR dan bekas Menteri Kerajaan Madani itu mensasarkan khususnya di kawasan bandar, pantai barat, dan kawasan kerusi campuran.
Beliau bagaimanapun mengucapkan tahniah atas keberanian kedua-dua tokoh politik tersebut dalam mengorak langkah baharu yang didorong oleh pertimbangan jangka pendek dan jangka panjang bagi mendepani sentimen politik semasa.
“Tahniah kepada YB Rafizi dan YB Nik Nazmi atas keberanian mengorak langkah baharu dalam pentas politik tanahair. Langkah ‘kamikaze’ ini pastinya didorong pertimbangan jangka pendek dan jangka panjang, mengambil kira realiti dan sentimen politik semasa.
“Secara asasnya, parti baharu Rafizi dijangka memberi lebih saingan kepada PH, berbanding PN, kerana menyasarkan segmen pasaran yang sama dengan PH – kerusi campuran, kawasan bandar, pantai barat,” katanya dalam satu ulasan, semalam.
Senario politik tanah air dikejutkan dengan tindakan drastik Rafizi dan Nik Nazmi yang dilaporkan beralih arah daripada parti asal mereka dan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen untuk bersama sebuah wadah politik baharu dinamakan BERSAMA.
Langkah ini dilihat diambil di tengah-tengah fasa dinamik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), ketika sokongan pengundi atas pagar dan golongan muda menjadi rebutan utama semua blok politik.
Sebelum ini, kepimpinan Rafizi sering dikaitkan dengan pelbagai formula ekonomi dan kritikan dasar yang tular, namun prestasi pelaksanaan dasar ketika berada dalam kerajaan pasca-PRU15 kerap menjadi sasaran kritikan.
Mengulas impak penubuhan parti itu terhadap PN, Syahir menjelaskan bahawa cabaran utama bagi blok pembangkang adalah dalam aspek pertembungan idea serta polisi bagi menarik minat pengundi muda dan golongan atas pagar.
Namun begitu, beliau menyifatkan reputasi masa lalu Rafizi sebagai perancang formula sedikit sebanyak memberikan kesan terhadap penerimaan masyarakat kepada parti baharu terbabit.
“Bagi PN, cabarannya terletak pada pertembungan idea dan polisi untuk menarik sokongan anak muda dan pengundi atas pagar. Namun kredibiliti ‘Raja Formula’ sedikit menjejaskan reputasi Rafizi.
“Kemunculan parti baharu ini berpotensi ‘memeriahkan’ ruang demokrasi, khususnya melalui kritikan dasar serta pembongkaran isu dan kelemahan kerajaan, termasuk serangan politik terhadap elit penguasa,” jelas beliau.
Syahir turut membangkitkan persoalan yang lebih besar mengenai hala tuju dan masa depan parti BERSAMA selepas pilihan raya tamat, memandangkan realiti landskap politik semasa tidak lagi memihak kepada pergerakan secara solo.
Beliau menegaskan bahawa landskap politik pasca-PRU15 telah membuktikan tiada mana-mana parti yang mampu mendominasi dan membentuk kerajaan secara sendirian, sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan.
“Namun persoalan lebih besar ialah kedudukan parti ini selepas pilihan raya; dengan siapa BERSAMA akan bergabung? Realiti politik pasca PRU15 menunjukkan bahawa hampir mustahil bagi sesebuah parti membentuk kerajaan secara bersendirian, peringkat negeri mahupun persekutuan.
“Walaupun masih terlalu awal, tetapi inilah antara pertimbangan utama pengundi menjelang PRU16 nanti; adakah berbaloi untuk menberi satu undi kepada parti baharu ini?” soalnya mengakhiri kenyataan. – HARAKAHDAILY 19/5/2026











