Nikotin: Kerajaan kalah, kesihatan awam menang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memutuskan tindakan mengeluarkan cecair dan gel nikotin daripada Senarai Racun di bawah Akta Racun 1952 sebagai tidak sah disifatkan sebagai kemenangan besar kepada kesihatan awam.

Ahli Dewan Negara, Senator Dr Wan Martina Wan Yusof berkata, keputusan itu membuktikan bahawa kesihatan rakyat tidak boleh dikompromi demi kepentingan ekonomi atau kutipan cukai semata-mata.

- Advertisement -

“Keputusan mahkamah hari ini adalah satu pengiktirafan besar bahawa kesihatan awam tidak boleh sesekali dikorbankan demi kepentingan lain,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut beliau, kebimbangan yang disuarakan sebelum ini oleh para profesional kesihatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli Parlimen berhubung tindakan menyahsenarai nikotin adalah berasas.

Katanya, langkah tersebut telah mewujudkan kelompongan undang-undang selama kira-kira 17 bulan sehingga produk vape bernikotin tinggi boleh dijual secara bebas termasuk kepada golongan bawah umur.

“Situasi ini amat membimbangkan kerana ia membuka ruang kepada akses tanpa kawalan terhadap bahan ketagihan dalam kalangan remaja,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MKTM), Pertubuhan Green Lung Malaysia (MGLA) dan Voice of the Children (VOC).

Beliau memuji keberanian serta kecekalan mereka membawa isu ini ke muka pengadilan demi mempertahankan masa depan generasi muda pada masa kini.

“Keberanian dan kecekalan mereka mempertahankan masa depan generasi muda wajar dipuji,” ujarnya yang juga merupakan seorang pengamal perubatan profesional.

Beliau turut menegaskan bahawa keputusan itu perlu dijadikan pengajaran kepada kerajaan supaya setiap dasar berkaitan kesihatan dibuat berdasarkan bukti sains, pandangan pakar serta rundingan telus, bukan dipengaruhi tekanan industri atau kepentingan jangka pendek.

Tambah Dr Wan Martina, walaupun Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 telah berkuat kuasa, keputusan mahkamah tersebut kekal penting sebagai penegasan terhadap keperluan kawal selia ketat ke atas bahan ketagihan seperti nikotin.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkukuh penguatkuasaan akta berkenaan bagi mengekang penggunaan vape dalam kalangan pelajar dan remaja.

“Kesihatan generasi akan datang adalah pelaburan terbesar negara yang tidak mempunyai tanda harga,” katanya.

Pada 15 Mei kelmarin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan tindakan Menteri Kesihatan dan kerajaan yang mengecualikan cecair serta gel rokok elektronik daripada Senarai Racun di bawah Akta Racun 1952 sebagai tidak rasional.

Hakim, Datuk Aliza Sulaiman membuat keputusan itu selepas mendapati pengecualian melalui Perintah Racun Pindaan Senarai Racun 2023 dibuat tanpa rundingan sewajarnya dengan Lembaga Racun.

Beliau berkata, keputusan mengecualikan cecair dan gel nikotin bagi rokok elektronik daripada kawalan Akta Racun dibuat lebih menjurus kepada faktor ekonomi susulan cadangan pengenaan duti eksais terhadap produk berkenaan. – HARAKAHDAILY 19/5/2026

- Advertisement -