Nikotin tidak sah: Tamparan terhadap ‘done deal’ kerajaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memutuskan tindakan mengeluarkan cecair dan gel nikotin daripada Senarai Racun pada 2023 sebagai tidak sah, tidak rasional serta dibuat tanpa rundingan sewajarnya, disambung baik Dewan Pemuda PAS Malaysia.

- Advertisement -

Dr Zulkifli Mohamad berkata, penghakiman oleh Hakim Datuk Aliza Sulaiman itu bukan sekadar kemenangan teknikal kepada tiga badan masyarakat sivil, iaitu Voice of Children, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) dan Malaysian Green Lung Association (MGLA).

Pengerusi Lajnah Kesihatan Dewan Pemuda PAS Malaysia itu berkata, keputusan tersebut turut menjadi tamparan hebat serta pengesahan terhadap kegagalan kerajaan dalam melindungi kesihatan awam.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sepatutnya menjadi benteng utama mempertahankan rakyat daripada ancaman kesihatan yang dikatakan telah meruntuhkan peranannya demi mengejar hasil cukai eksais produk vape.

“Bagaimana keputusan sebesar ini boleh disifatkan sebagai ‘done deal’ tanpa pertemuan fizikal bermakna dengan Lembaga Racun, malah mengabaikan bantahan badan pakar tersebut.

“Ini adalah satu bentuk salah guna kuasa yang mengorbankan prinsip integriti demi kepentingan ekonomi jangka pendek,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial.

Beliau berkata, keputusan pada April 2023 itu turut mengheret negara ke dalam lompong undang-undang selama hampir 17 bulan sebelum Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dikuatkuasakan pada 1 Oktober 2024.

Menurutnya, dalam tempoh tersebut produk vape bernikotin dikatakan dijual tanpa kawalan umur termasuk kepada pelajar sekolah, manakala industri berkenaan mencatat keuntungan besar.

“Kos rawatan jangka panjang akibat penyakit berkaitan vape seperti EVALI kini terpaksa ditanggung oleh sistem kesihatan negara, yang akhirnya jauh lebih tinggi daripada nilai cukai yang dikutip,” ujarnya.

Tambah Dr Zulkifli, dalam Islam prinsip memelihara nyawa merupakan antara maqasid syariah yang utama dan tindakan menggadaikan masa depan generasi muda demi hasil cukai disifatkan sebagai tidak wajar.

Sehubungan itu, pihaknya mengemukakan tuntutan termasuk mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap kemungkinan wujud unsur salah guna kuasa, konflik kepentingan atau tekanan industri terhadap pembuat dasar.

Selain itu, Pemuda PAS katanya, turut menuntut supaya bekas Menteri Kesihatan serta kepimpinan kerajaan ketika itu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia, khususnya ibu bapa.

Dalam masa sama, beliau menegaskan KKM perlu melaksanakan penguatkuasaan akta berkenaan secara tegas tanpa kompromi.

“Pemuda PAS akan terus konsisten berdiri bersama pakar perubatan, NGO kesihatan dan ibu bapa untuk menentang sebarang cubaan menormalkan budaya ketagihan dalam masyarakat,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Mei membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh tiga NGO bagi mencabar keputusan kerajaan pada 2023 untuk mengecualikan cecair dan gel vape daripada Senarai Racun.

Hakim Datuk Aliza Sulaiman berkata, mahkamah berpuas hati bahawa keputusan pengecualian tersebut adalah tidak rasional dan didorong faktor ekonomi sebelum akta berkaitan berkuat kuasa. – HARAKAHDAILY 19/5/2026

- Advertisement -