Henti korbankan kesihatan demi raih cukai nikotin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah Kesihatan PAS Pusat menyambut baik Mahkamah Tinggi memutuskan tindakan menyahsenarai cecair nikotin daripada Senarai Racun pada tahun 2023 sebagai tidak sah serta bercanggah dengan prinsip perundangan dan kepentingan kesihatan awam.

Pengerusinya, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, keputusan itu membuktikan bahawa dasar berkaitan kesihatan rakyat tidak wajar dibuat secara tergesa-gesa, lebih-lebih lagi jika didorong oleh pertimbangan ekonomi dan percukaian semata-mata.

- Advertisement -

“Keputusan ini jelas menunjukkan bahawa dasar berkaitan kesihatan rakyat tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa, apatah lagi jika didorong oleh pertimbangan ekonomi dan percukaian semata-mata,” katanya menerusi kenyataan media.

Menurut beliau, hakim Mahkamah Tinggi turut menyatakan bahawa keputusan penyahsenaraian tersebut dibuat atas faktor ekonomi bagi membolehkan cukai dikenakan ke atas produk vape dan rokok elektronik.

Tambah beliau, mahkamah juga mendapati proses konsultasi dengan Lembaga Racun tidak dilakukan secara bermakna dan berkesan, walaupun lembaga berkenaan secara sebulat suara membantah cadangan tersebut.

Dalam pada itu, Dr Ahmad Yunus yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat menegaskan bahawa penyahsenaraian nikotin sebelum ini telah membuka ruang kepada penularan budaya vape dalam kalangan anak muda dan remaja, khususnya sepanjang tempoh hampir 17 bulan tanpa kawal selia yang jelas.

“Tempoh kekosongan kawal selia itu menyebabkan produk berasaskan nikotin menjadi lebih mudah diakses termasuk oleh golongan bawah umur,” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa nikotin merupakan bahan ketagihan yang memberi kesan besar terhadap perkembangan otak remaja, kesihatan mental serta fungsi paru-paru, selain berpotensi menjadi pintu masuk kepada ketagihan lain.

Katanya, dalam situasi negara berdepan peningkatan penyakit tidak berjangkit dan kos rawatan kesihatan yang semakin tinggi, langkah melonggarkan kawalan terhadap nikotin adalah tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, beliau berkata Lajnah Kesihatan PAS Pusat menggesa kerajaan mengembalikan kawalan ketat terhadap cecair nikotin dan produk vape serta mengutamakan perlindungan generasi muda berbanding kepentingan hasil cukai.

“Selain itu, kerajaan juga diseru memperkukuh penguatkuasaan terhadap penjualan vape kepada remaja dan pelajar sekolah, di samping menggubal dasar kawalan tembakau dan vape yang lebih tegas, konsisten dan berasaskan bukti saintifik,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan kerajaan mendengar pandangan pakar kesihatan awam serta badan profesional sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan kesihatan rakyat.

“Apabila negara mula menghalalkan mudarat demi hasil, maka rakyat akhirnya menanggung harga yang jauh lebih mahal,” tegasnya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kerajaan bertindak secara tidak rasional dan tanpa rundingan mencukupi apabila cecair serta gel nikotin vape dikeluarkan daripada Senarai Racun pada tahun 2023.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh tiga kumpulan masyarakat sivil iaitu Voice of Children, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) dan Malaysian Green Lung Association (MGLA).

Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Aliza Sulaiman menyatakan pengecualian tersebut didorong sebahagian besarnya oleh pertimbangan ekonomi yang berkait dengan rancangan kerajaan mengenakan duti eksais terhadap produk vape bernikotin. – HARAKAHDAILY 19/5/2026

- Advertisement -