Tangkap lembu, elak risiko kemalangan cuti perayaan

- Advertisement -

GUA MUSANG: Pemilik lembu dan kerbau diingatkan supaya menjaga ternakan masing-masing daripada merayau di jalan raya dan kawasan awam menjelang musim cuti perayaan minggu depan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, langkah tersebut penting bagi mengelakkan risiko kemalangan melibatkan kenderaan perantau yang mula pulang ke kampung halaman.

Menurutnya pihak berkuasa tempatan memandang serius isu haiwan merayau yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya terutama ketika pertambahan jumlah kenderaan pada musim perayaan.

“Saya sempat meluangkan masa ke kandang lembu Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) untuk melihat dengan lebih dekat lembu-lembu yang berjaya ditangkap oleh penguat kuasa sepanjang minggu ini.

“Saya memohon kepada pemilik lembu kerbau agar dapat menjaga lembu masing-masing daripada merayau di sekitar jalan raya dan tempat-tempat awam terutama di musim cuti perayaan bermula minggu depan,” katanya.

Tambah beliau, sepanjang minggu ini sebanyak 11 ekor lembu berjaya ditangkap menerusi Operasi Haiwan Merayau dalam kawasan operasi MDGM.

Katanya, semua ternakan terbabit kini ditempatkan sementara di kandang lembu MDGM bagi menunggu tamat tempoh Notis Tuntutan di bawah Seksyen 4(1) Undang-Undang Kecil Haiwan Merayau Majlis Daerah Gua Musang.

Beliau menjelaskan bahawa selepas tamat tempoh notis tersebut, pihak MDGM akan melaksanakan lelongan awam sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 5 undang-undang kecil terbabit atau dilupuskan oleh Yang Dipertua MDGM.

“Selepas tamat tempoh tersebut, MDGM akan buat lelongan awam sebagaimana kuasa di bawah Seksyen 5 UUK tersebut atau dilupuskan oleh YDP MDGM,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, mat Islam di negara ini akan menyambut Hari raya Aidiladha pada 27 Mei ini.

Dijangkakan ramai perantau akan pulang ke kampung untuk menyambut perayaan berkenaan yang berdekatan dengan cuti sambutan Hari Wesak. – HARAKAHDAILY 19/5/2026

- Advertisement -