THEBAN, Syria: Sumber daripada media Arab melaporkan bahawa letupan kedengaran di pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di sempadan Iraq-Syria pada malam Ahad.
Letupan berkenaan dilaporkan berlaku dari dalam pangkalan Al Tanf yang menempatkan pasukan ketenteraan AS, namun punca kejadian masih tidak diketahui dan tiada sebarang laporan mengenai kerosakan atau kemalangan jiwa berlaku, lapor MNA.
Sementara, markas Pemerintahan Tengah Amerika Syarikat (CENTCOM) masih belum mengulas mengenai insiden letupan berkenaan yang terletak di wilayah Homs di Syria, berhampiran sempadan Iraq dan Jordan.
Terdahulu pada awal Ahad, Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) memaklumkan terdapat satu letupan kuat berlaku berhampiran telaga minyak Al-Omar, pangkalan terbesar pakatan pimpinan Amerika Syarikat (AS) di Syria yang terletak di timur Deir ez-Zor.
Menurut SOHR, pasukan tentera AS telah melepaskan peluru artileri dari pangkalan mereka di medan gas Koniko di kawasan luar bandar Deir ez-Zor, dan menyasarkan kawasan di bawah kawalan kerajaan Syria dan puak sekutu yang disokong Iran.
Tembakan artileri telah mengenai kedudukan di bandar Khasham dan Marat, tempat kumpulan bersenjata tempatan bergerak, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Insiden berkenaan berlaku di tengah-tengah pertempuran yang semakin meningkat antara tentera pakatan yang diketuai AS dan puak yang bersekutu dengan Iran di seluruh kawasan di barat Sungai Euphrates.
Sejak konflik Israel-Hamas pada 7 Oktober 2023, pakatan Iraq telah menyerang kawasan tentera Israel dan pangkalan AS di Iraq dan Syria, dan meletakkan mereka sebagai ‘pemain utama’ dalam Paksi Penentangan pro-Iran.
Pakatan tersebut termasuk kumpulan pejuang Houthi di Yaman, Hizbullah di Lubnan dan kumpulan-kumpulan pejuang Islam lain yang telah berikrar untuk memperjuangkan pembebasan Semenanjung Gaza daripada pencerobohan Israel pada ketika ini. -Agensi/– HARAKAHDAILY 28/10/2024