
PASIR MAS: Cadangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) supaya penjaja membuat caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) sebagai syarat mendapatkan lesen menjaja tidak dipersetujui kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, tidak adil menetapkan peraturan itu kepada penjaja kerana ada penjaja mempunyai insurans perlindungan.
Menurutnya, caruman SKSPS tidak boleh menjadi syarat lesen kerana peniaga ada pilihan dalam menentukan pendapatan mereka sendiri.
“Bagaimanapun kerajaan negeri menggalakkan penjaja menyertai skim perlindungan kerana mereka terdedah kepada pelbagai risiko.
“Bayaran yang dikenakan PERKESO tidak mahal hanya kira-kira RM23 setahun dan kita percaya semua penjaja mampu membayar untuk manfaat masa depan,” katanya selepas merasmikan Program Kitar Semula sempena Hari Alam Sekitar Negeri Kelantan. (Foto atas)
Program berkenaan diadakan di perkarangan Masjid al-Hanan Mukim Cabang Empat Tendong, dekat sini kelmarin.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Wan Aminordin Wan Kamaruddin.
Media sebelum ini melaporkan PERKESO akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya penjaja mencarum SKSPS sebagai syarat wajib mendapatkan lesen menjaja bermula tahun depan. – HARAKAHDAILY 28/10/2024











