Sejauh mana sistem NBCS dilaksana hingga kini?

Datuk Awang Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri diminta untuk menjelaskan sejauh mana Sistem Kawalan Sempadan Negara ataupun (NBCS) berjaya dilaksanakan sehingga kini.

- Advertisement -

Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berkata, ia susulan beberapa kejadian penculikan yang berlaku sebelum ini dan di mana di situ juga berlaku tawar-menawar ruang tebusan di kawasan Eastern Sabah Safety Zone (ESSZONE).

“Kita faham pengurusan sempadan negara ini sesuatu yang rumit memerlukan kepada diplomasi diplomatik yang tinggi.

“Sebab itu saya nak mendapat penjelasan daripada pihak kerajaan apakah status terkini pelaksanaan Sistem Kawalan Sempadan Negara ataupun NBCS yang dimulakan sejak September 2023?” soalnya.

Beliau juga memohon Menteri Dalam Negeri menjelaskan sejauh manakah sistem itu akan dioptimumkan bagi kawasan The Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) yang mensasarkan misi tiada pencerobohan bagi kali kedua serta sifar penculikan.

Awang menyatakan perkara ini sewaktu mengajukan soalan tambahan sewaktu sesi ‘Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan’ di Dewan Rakyat, hari ini.

“Oleh sebab itu sejauh manakah pelan pengukuhan keupayaan aset serta aspek penguatkuasaan ESSCOM dalam mendepani ancaman keselamatan sempadan baru?

“Terutamanya penggunaan teknologi data raya dan juga AI di sebalik kecanggihan teknologi kawalan keselamatan di sempadan yang sedang kita ada sekarang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dalam jawapannya berkata, ESSCOM mempunyai peranan yang cukup besar dalam memastikan keselamatan Zon Selamat Sabah Timur sebagai koordinator advisor dalam soal keselamatan dalam usaha untuk mengukuh dan  meningkatkan keselamatan di kawasan awam.

“Saya nak sebut di sini bahawa kalau kita ukur dari segi kejayaan kita, segala inisiatif  yang dilakukan oleh pasukan keselamatan ini telah bawa kejayaan-kejayaan yang penting dalam basmi elemen pencerobohan asing dan militan di Sabah.

“Ini dalilnya ada. Kita boleh buktikan dengan tiada insiden penculikan yang berlaku di kawasan ESSZONE) semenjak 15 Januari 2020. Maknanya segala inisiatif yang kita buat itu ada kesan yang berlaku,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/10/2024

- Advertisement -