
KUALA LUMPUR: Satu laporan polis telah dibuat oleh Armada Bersatu Malaysia mengenai kenyataan media Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok Sum Sih yang sebelum mewajibkan sijil halal memalukan negara ini.
Setiausaha Kerja Armada Bersatu Malaysia, Meor Naqiuddin berkata, kenyataan tersebut telah dimuatnaik dalam laporan portal MalaysiaKini yang bertajuk, Wajibkan sijil halal akan tambah beban peniaga, memalukan negara, pada jam 6.15 petang 6 September 2024.
“Kenyataan tersebut (dalam portal MalaysiaKini) adalah jelas tidak wajar kerana menyentuh sensitiviti setiap umat Islam itu sendiri,” katanya dalam satu Sesi Sidang Media yang diadakan berhadapan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Dang Wangi, hari ini.
Menurut beliau, Teresa Kok tidak seharusnya campur tangan mengenai urusan agama Islam termasuklah mengenai isu sijil halal ini.
Tambahnya, Ahli Parlimen Seputeh itu seharusnya faham mengenai perkara tersebut memandangkan Islam merupakan agama rasmi dalam negara ini.
“Bagi saya, kenyataan mengenai sijil halal merupakan satu perkara yang sangat biadap kerana menyentuh isu sensitiviti umat Islam.
“Kenyataan sebegitu kita melihat tidak beretika sebagai seorang Ahli Parlimen yang sudah berpengalaman luas mengenai perkara ini tetapi memilih untuk menyentuh isu sebegini.
“Lagipun, kenyataan beliau juga telah memperlekehkan kehendak sijil halal yang merupakan suatu cara dan kawalan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan umat Islam mendapat bekalan makanan yang bersih sesuai dengan kehendak syarak,” jelasnya.
Sehubungan itu, Meor menyatakan bahawa piawaian halal negara ini telah diiktiraf di seluruh dunia termasuklah negara-negara Eropah dan Timur Tengah.
Kata beliau lagi, isu halal ini merupakan sesuatu yang dekat di hati setiap umat Islam yang mana perkara sebegini tidak boleh disentuh sewenang-wenangnya.
“Maka, kami harap dengan laporan polis hari ini, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan sahaja melakukan siasatan tetapi juga mengambil tindakan sewajarnya berkenaan isu ini,” katanya.
Terdahulu, MalaysiaKini melaporkan kenyataan Teresa Kok bahawa cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.
Menurut laporan itu, Teresa Kok dilaporkan sebagai berkata bahawa ‘langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara’. – HARAKAHDAILY 9/9/2024




















