
JERANTUT: Syarikat bersama empat kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) iaitu SG4 Group Sdn Bhd ditubuhkan bukan bertujuan untuk melawan Kerajaan Persekutuan.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tetapi ia adalah mekanisme bagi mendukung gagasan yang wujud di peringkat Kerajaan Persekutuan.
“Di mana kita menyelaras empat-empat negeri ni, kita jadi penyelaras kepada apa-apa projek dan pelaburan daripada pihak luar atau dalam yang nak melabur di tempat-tempat tertentu.
“Katakanlah ada satu agensi nak labur, dia berminat dengan Kelantan, tapi prospek pelaburan itu lebih baik di Kedah. Jadi kita salurkan dia ke Kedah.
“Ada pelabur nak mari dia kata dia berminat nak labur di Kedah, tapi tengok potensi pelaburan dia kata ada contoh REE (nadir bumi) lebih potensi kalau dibawa ke Terengganu,” ujar beliau.
Beliau yang juga ADUN Cheka berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) di Hotel Darul Makmur, di sini semalam.
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, SG4 Group Sdn Bhd menjadi agensi penyelaras kepada keempat-empat negeri dan menjadi pemudah cara di peringkat Kerajaan Persekutuan.
“Dia bukan nak lawan Kerajaan Persekutuan sebab kita tahu pelaburan ini memang masuk melalui MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) dan melibatkan Kerajaan Persekutuan.
“Itu tak timbul soal lawan tapi ialah satu mekanisme di peringkat empat-empat negeri kita sama ada pemudah cara,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 9/9/2024











