
ALOR SETAR: Jabatan Kerja Raya (JKR) Persekutuan digesa agar segera meluluskan peruntukan bagi membaik pulih sistem perparitan yang sering mengakibatkan banjir kilat di Taman Mergong, di sini.
Ahli Parlimen Alor Setar, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, masalah perparitan dan banjir kilat itu sudah berlarutan dan telah membelenggu penduduk di taman perumahan tersebut sejak sekian lama.
“Isu ni dah banyak kali dibangkitkan dalam Mesyuarat Tindakan Pembangunan Daerah Kota Setar sejak 2023. Saya juga memohon tindakan pihak berwajib untuk menyelia longkang yang tersumbat.
“Terutama di hadapan Masjid Ar-Rahman Taman Wira berkenaan,” katanya pada satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu kata Afnan, sungguhpun jalan dan longkang di Taman Wira ini adalah di bawah seliaan JKR Persekutuan, namun atas usaha pihak berkaitan telah mengambil tanggungjawab membersihkan longkang sepanjang Taman Wira hingga ke Jalan Gangsa.
Perkara tersebut menurutnya dilaksanakan atas inisiatif Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Suka Menanti dan Parlimen Alor Setar, Bahagian Perkhidmatan Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).


“Sebelum ini saya dan ADUN Suka Menanti, yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dzowahir Ab Ghani, turun padang bersama pihak MBAS untuk meninjau masalah ini di lapangan.
“Alhamdulilah hari ini, melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang digerakkan oleh beberapa anggota tenaga dari Unit Gerak Cepat berjaya membersihkan laluan air longkang di sepanjang kawasan berkenaan,” tambah beliau.
Sungguhpun begitu katanya, usaha tersebut bersifat jangka masa pendek, sementara dalam keadaan cuaca tidak menentu dan sampah sarap yang masih banyak, banjir kilat tetap akan berlaku lagi.
“Ada kawasan yang air melimpah dan bertakung sejak tiga minggu, hari ini baru surut. Oleh itu saya harap peruntukan untuk baik pulih, segeralah diluluskan demi keselesaan rakyat,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 9/9/2024














