PSI punca selut melampau jejas nelayan Sg Batu?

- Advertisement -

BALIK PULAU: Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff menggesa tindakan segera berhubung isu selut atau lumpur melampau yang menjejaskan kehidupan komuniti nelayan di pesisiran Sungai Batu, di sini.

- Advertisement -

Menurutnya, kehadiran selut tidak normal yang tebal di kawasan tersebut telah menyebabkan gangguan serius kepada aktiviti penangkapan ikan di mula dirasai sejak Ogos 2024 dan menyebabkan hasil tangkapan ikan merosot serta punca pendapatan nelayan terjejas teruk.

Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail mengaitkan masalah tersebut dengan projek penambakan Pulau Silikon Pulau Pinang (PSI) seluas 2,300 ekar yang bermula pada September 2023 lagi.

Beliau memaklumkan, sebelum projek tambakan mega tersebut, tidak terdapat masalah selut yang melampau di kawasan tersebut.

“Sejak projek ini bermula, kami telah mengalami penurunan mendadak dalam tangkapan hasil laut dan kehadiran selut yang mendalam telah membebankan kehidupan harian kami,” ujar beliau.

Selut yang menimbun dengan kedalaman mencecah satu meter telah menyebabkan sampan nelayan sering terperangkap, menjadikan mereka tidak dapat keluar ke laut untuk menangkap udang dan ikan.

“Pada bulan Ogos sahaja, nelayan di Sungai Batu hanya mampu pergi ke laut selama 10 hari kerana ribut dan masalah selut,” tambahnya.

Unit Nelayan Sungai Batu kini merancang untuk menghubungi Jabatan Alam Sekitar bagi mendesak siasatan segera mengenai punca masalah ini.

Mereka menggesa Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Jabatan Perikanan serta Exco Agroteknologi dan Kejiranan Makanan, Pembangunan Koperasi Negeri, Fahmi Zainol agar dapat mengambil tindakan sewajarnya.

Komuniti nelayan Sungai Batu turut menyeru agar projek penambakan PSI dihentikan sementara sehingga siasatan penuh mengenai kejadian selut ini diselesaikan. – HARAKAHDAILY 9/9/2024

- Advertisement -