Tindakan lebih tegas pantau, kawal acara hiburan

Pemuda PAS DUN Bandar desak pihak berkuasa berhubung acara yang melampaui batas moral dan norma masyarakat setempat

Khairul Ammarnizam Khamaruzaman
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pemuda PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas dalam memantau dan mengawal penganjuran program hiburan serta acara yang melampaui batas moral dan norma masyarakat setempat.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS DUN Bandar, Ustaz Khairul Ammarnizam Khamaruzaman berkata, pihaknya memandang serius penganjuran sebahagian program hiburan yang dilihat semakin bercanggah dengan nilai agama, budaya dan akhlak masyarakat di Terengganu, khususnya di sekitar DUN Bandar.

Menurutnya, antara perkara yang membimbangkan ialah penganjuran konsert dan hiburan melampau yang didakwa mengabaikan batas syariat serta nilai ketimuran.

Selain itu, katanya, pemakaian tidak sopan dan menjolok mata yang dipertontonkan secara terbuka serta pergaulan bebas tanpa kawalan turut dibimbangi boleh merosakkan akhlak generasi muda.

“Terengganu bukan medan untuk menormalisasikan budaya hedonisme dan hiburan tanpa batas.

“Negeri ini wajib dipelihara dengan nilai agama, adab dan maruah masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menggesa semua pihak supaya lebih bertanggungjawab dalam melaksana setiap program yang dianjurkan. 

“Kami menyeru semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam memastikan setiap program yang dianjurkan tidak menjadi pintu kepada keruntuhan moral dan kerosakan sosial dalam masyarakat,” ujarnya.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video yang memaparkan persembahan seorang penyanyi undangan yang didakwa berlebihan sehingga mencetuskan kecaman orang ramai.

Sehubungan itu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) semalam, pada Ahad dilaporkan telah mengeluarkan kompaun terhadap penganjur acara hiburan di Kuala Terengganu kerana didapati tidak mematuhi syarat lesen yang ditetapkan.

Datuk Bandar MBKT, Lizan Che Mat dalam kenyataannya berkata, tindakan tersebut dilaksanakan selepas pihaknya melakukan penelitian terhadap program berkenaan susulan penularan rakaman video memaparkan gelagat peserta yang mengundang kecaman masyarakat.

Daripada hasil penelitian tersebut, ujar beliau, didapati terdapat pelanggaran terhadap syarat lesen hiburan yang diberikan kepada penganjur.

“Kita sudah mengeluarkan kompaun terhadap penganjur kerana berlaku ketidakpatuhan terhadap syarat lesen.

“Kelulusan lesen hiburan di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002 mempunyai syarat tertentu yang wajib dipatuhi oleh penganjur,” katanya.

Tambah beliau, pelanggaran terhadap syarat tersebut merupakan satu kesalahan mengikut subseksyen 11(2) enakmen sama.

“Individu atau pihak yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Lizan dalam pada itu menegaskan bahawa MBKT tidak memandang ringan isu berkaitan pematuhan syarat penganjuran khususnya program hiburan yang boleh menjejaskan sensitiviti dan ketenteraman awam.

Beliau juga menjelaskan bahawa setiap permit atau lesen yang diluluskan bukan bermaksud penganjur bebas menjalankan acara tanpa kawalan.

Menurut beliau, penganjur perlu memastikan program berlangsung mengikut garis panduan yang ditetapkan mengikut syarat yang diberikan.

“Sekiranya syarat yang diberikan gagal dipatuhi, tindakan undang-undang boleh dikenakan.

“MBKT tidak menghalang sebarang program yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat serta menjana ekonomi tempatan, namun semua pihak perlu mematuhi peraturan sedia ada,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/5/2026

- Advertisement -