‘Kepimpinan Dr Sam bukti keupayaan, bukan beban’

Idris Ahmad bidas Lim Guan Eng

Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dakwaan Penasihat DAP, Lim Guan Eng bahawa pelantikan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merupakan satu beban disifatkan sebagai tidak tepat dan bersifat politik.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, kemampuan Ahmad Samsuri menggalas pelbagai tanggungjawab serentak membuktikan keupayaan kepimpinan PAS semakin kukuh dan diiktiraf, bukannya menimbulkan beban seperti dikatakan pihak lawan.

Menurutnya, hujah yang cuba menggambarkan kepimpinan PAS terbeban dengan pelbagai jawatan hanya menunjukkan kegelisahan pihak tertentu terhadap kebangkitan pengaruh parti itu dalam landskap politik negara.

“Hang (kamu) kata pada siapa? Tu Anwar Ibrahim apa jawatan dia tak pegang, pasal apa? Mereka takut? dulu mereka kata PAS tak ada harapan PAS.

“Sekarang semua orang orang nampak kita mampu mentadbir bukan sahaja mentadbir dari segi kerohanian, keagamaan tetapi juga negeri,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Pasca Sidang DUN, Isu Semasa Negara, di sini.

Beliau berkata, kemampuan mengurus pentadbiran negeri sambil memikul tanggungjawab peringkat nasional adalah bukti kecekapan kepimpinan, bukan kelemahan seperti digambarkan.

Dalam masa sama, beliau menegaskan rekod pentadbiran Terengganu di bawah PAS menunjukkan prestasi kewangan yang lebih baik, termasuk pengurangan hutang negeri serta pengurusan hasil yang lebih berdisiplin.

“Kita juga boleh buktikan dengan bentuk fakta dan data. Dulu waktu PAS menang tahun 2018 di Terengganu, kita menanggung hutang sebanyak RM900 juta lebih. Sekarang hutang tak sampai 200 juta,” katanya.

Kata beliau, negeri Terengganu turut berdepan dengan isu pengagihan hasil dan royalti yang menurutnya masih tertumpu di peringkat pusat sebelum disalurkan kembali kepada negeri melalui saluran tertentu.

“Banyak kerja, sedangkan kamu ada SPRM, kamu ada audit. Auditlah. Ikut prosedur,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata, peranan wakil rakyat perlu dihormati dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat di kawasan masing-masing, termasuk isu berkaitan peruntukan pendidikan dan pembangunan.

“Macam kami kata peruntukan ahli parlimen dapat RM4 juta, patut dapat. Tak mengapa letak duit di pejabat daerah. Tapi kuasa untuk meluluskan itu bagi kami. Sebab rakyat jumpa kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/5/2026

- Advertisement -