
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan mengambil tindakan tegas termasuk menyenarai hitam mana-mana penganjur acara atau persembahan yang gagal mematuhi garis panduan serta syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri mempunyai undang-undang kecil dan garis panduan khusus melibatkan penganjuran hiburan, pelancongan serta sukan di seluruh negeri ini.
Katanya, semua bentuk acara dan persembahan sama ada berbentuk hiburan atau persembahan awam perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
“Kerajaan negeri mempunyai undang-undang kecil berkaitan penganjuran acara dan persembahan di semua PBT termasuk Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
“Kita juga mempunyai garis panduan hiburan, pelancongan dan sukan yang perlu dipatuhi oleh pihak penganjur,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya, isu utama ketika ini adalah dari sudut penguatkuasaan yang mungkin mempunyai kelemahan atau kelompongan tertentu.
Sehubungan itu kata beliau, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan semua ahli majlis PBT di negeri ini dalam masa terdekat bagi memastikan penguatkuasaan dapat dipertingkatkan.
“Saya akan bertemu semua ahli majlis PBT bulan ini bagi memastikan segala peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata, tindakan tegas termasuk menyenarai hitam akan dikenakan terhadap mana-mana penganjur yang gagal mematuhi syarat ditetapkan.
“Sekiranya terdapat penganjur yang tidak mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan, kerajaan negeri boleh mengambil tindakan termasuk menyenarai hitam mereka,” katanya.
Terdahulu, Pemuda PAS DUN Bandar mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas dalam memantau dan mengawal penganjuran program hiburan serta acara yang melampaui batas moral dan norma masyarakat setempat.
Ketua Pemuda PAS DUN Bandar, Ustaz Khairul Ammarnizam Khamaruzaman berkata, pihaknya memandang serius penganjuran sebahagian program hiburan yang dilihat semakin bercanggah dengan nilai agama, budaya dan akhlak masyarakat di Terengganu, khususnya di sekitar DUN Bandar. – HARAKAHDAILY 25/5/2026




















