
PRESIDEN Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang secara terbuka menegaskan PAS akan menilai semula kerjasama dengan Parti Pribumi BERSATU Malaysia susulan pelbagai tindakan parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu yang dilihat semakin melanggar semangat setia kawan dalam Perikatan Nasional (PN). Kenyataan tersebut bukan lagi sekadar teguran biasa, tetapi satu isyarat jelas bahawa kesabaran PAS terhadap kerenah politik BERSATU semakin sampai ke penghujungnya.
PAS selama ini terlalu banyak berkorban demi memastikan PN terus kukuh. Ketika PAS bekerja siang malam menggerakkan jentera, mempertahankan kerajaan negeri dan membina keyakinan rakyat terhadap PN, BERSATU pula dilihat semakin tenggelam dalam perebutan kuasa, konflik dalaman dan permainan kelompok tertentu. PAS akhirnya terpaksa memikul beban mempertahankan PN sedangkan sebahagian pimpinan BERSATU pula sibuk melemahkan kekuatan gabungan itu dari dalam.
Hakikat paling pahit yang sukar disembunyikan ialah kekuatan sebenar PN di lapangan digerakkan oleh PAS, bukannya BERSATU. PAS mempunyai jentera akar umbi paling tersusun dan paling setia di negeri-negeri utama seperti Kedah, Kelantan, Terengganu, Perlis dan Pahang. Di banyak kawasan, operasi pilihan raya PN hampir sepenuhnya bergantung kepada petugas PAS. Perkara ini sendiri pernah ditegur oleh Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor semasa Muktamar PAS apabila beliau menegur BERSATU dan mengingatkan bahawa PAS menjadi tulang belakang sebenar gerak kerja pilihan raya PN.
Namun malangnya, ketika PAS bertungkus-lumus mempertahankan gabungan, BERSATU pula terus mencipta masalah demi masalah. Tindakan memecat dan menggantung ramai pemimpin serta ahli sendiri bukan sahaja menunjukkan parti itu gagal mengurus organisasi secara matang, malah memperlihatkan budaya politik dendam dan perebutan pengaruh semakin membarah dalam BERSATU. Parti itu kini dilihat lebih sibuk membersihkan musuh dalaman daripada memperkukuhkan kekuatan menghadapi lawan politik sebenar.
Lebih memalukan, kegagalan BERSATU mengambil tindakan tegas terhadap beberapa ADUN mereka di Perlis yang didakwa menjatuhkan kepimpinan Mohd Shukri Ramli telah mencetuskan kemarahan besar dalam kalangan akar umbi PAS. Ini bukan isu kecil. Ia melibatkan maruah parti, kestabilan kerajaan negeri PN dan semangat setiakawan dalam gabungan. Apabila tiada tindakan disiplin tegas diambil, rakyat melihat BERSATU seolah-olah merestui tindakan yang menggugat kerajaan sendiri.
Tidak cukup dengan itu, episod dua ADUN BERSATU di Negeri Sembilan menarik balik akuan bersumpah (SD) tanpa merujuk PN Negeri dan PN Pusat terus memburukkan imej parti itu. Tindakan tersebut dilihat secara langsung menguntungkan Pakatan Harapan dan menimbulkan persoalan sama ada sebahagian pimpinan BERSATU benar-benar ikhlas mahu memperkukuhkan PN ataupun sekadar bermain percaturan politik kelompok sendiri.
Ironinya, pimpinan tertentu dalam BERSATU lebih ghairah memecat Timbalan Speaker dan EXCO di Kedah yang sedang menunjukkan prestasi cemerlang berbanding menyelesaikan masalah disiplin sebenar dalam parti sendiri.
Keadaan menjadi semakin parah apabila BERSATU dilihat dipenuhi kelompok ‘parti transit politik’, iaitu individu yang gagal mendapat tempat dalam Umno atau PKR lalu menjadikan BERSATU sebagai platform sementara demi kelangsungan politik peribadi. Akibatnya, perjuangan parti semakin hilang arah, imej calon semakin dipersoalkan dan keyakinan rakyat terhadap integriti BERSATU semakin merosot.
PAS juga semakin kecewa apabila beberapa parti Melayu-Islam seperti Parti Pejuang Tanah Air, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia dan Parti Perikatan India Muslim Nasional yang mahu mendekati PN ditolak mentah-mentah. Tindakan ini dianggap bercanggah dengan semangat penyatuan ummah yang sering dilaungkan PN sendiri.
Lebih mengecewakan, alasan kononnya BERSATU tidak mahu kem Dato’ Seri Hamzah Zainudin kembali kepada PN melalui platform baharu semakin menampakkan politik sempit dan dendam dalaman mengatasi kepentingan gabungan. Sedangkan ketika ini Hamzah dikatakan mempunyai sokongan 18 Ahli Parlimen jauh lebih besar dalam kalangan Ahli Parlimen BERSATU berbanding Muhyiddin. Keadaan ini memberi gambaran bahawa kekuatan tambahan yang mampu membantu PN menghadapi PRU16 sanggup diketepikan hanya kerana percaturan kelompok tertentu dalam BERSATU.
Dalam keadaan inilah ketegasan PAS benar-benar terserlah. PAS dilihat satu-satunya komponen yang masih konsisten mempertahankan prinsip, kestabilan dan agenda penyatuan Melayu-Islam dalam PN. Ketegasan PAS hari ini bukan tanda mahu memecahkan gabungan, tetapi amaran keras bahawa PN tidak boleh terus diperalatkan oleh kelemahan, ego dan perebutan kuasa dalam BERSATU.
Jika BERSATU masih gagal memahami mesej ini, maka rakyat sendiri akan membuat kesimpulan bahawa masalah terbesar PN hari ini bukan datang daripada lawan politik, tetapi berpunca daripada kegagalan BERSATU menghargai pengorbanan rakan sendiri. Sebelum terlambat, BERSATU wajib segera cermin diri, hentikan politik kelompok dan kembali menghormati semangat setiakawan jika benar mahu PN terus relevan menjelang PRU16.
Pintu untuk BERSATU kembali duduk di meja bulat dan bermuafakat dalam PN untuk sama-sama capai kemenangan dalam PRU16 masih terbuka luas.
Tepuk dada, tanyalah selera. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
DR KHALID HAMKA
Penganalisa Politik
Alor Setar – HARAKAHDAILY 25/6/2026
Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/1BT6d1L29o/
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











