Dasar Islam PAS bukan sekadar slogan politik

Sebaliknya, ia diterjemah dalam pentadbiran negeri di sebalik kritikan pelbagai pihak

Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: PAS menegaskan dasar Islam yang diperjuangkan parti itu bukan sekadar slogan politik, sebaliknya diterjemahkan dalam pentadbiran kerajaan negeri walaupun berdepan kritikan pelbagai pihak.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS Datuk Idris Ahmad berkata, PAS bukan agama dan kepimpinan parti juga tidak sempurna, namun prinsip Islam yang dibawa menjadi asas utama perjuangan parti itu.

Menurut beliau, rakyat boleh melihat sendiri perbezaan dasar yang dilaksanakan PAS berbanding parti lain termasuk dalam aspek sosial dan pentadbiran.

“PAS bukan agama dan PAS bukan Islam, tetapi dasar yang PAS bawa ialah Islam.

“Kita bukan maksum, pimpinan PAS pun tidak sempurna, namun rakyat boleh nilai dasar yang kita bawa ketika mentadbir,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Pasca Sidang DUN Isu Semasa Negara, di sini.

Beliau berkata, kerajaan negeri pimpinan PAS tetap membenarkan aktiviti hiburan dan rekreasi dijalankan, namun perlu mematuhi syarat tertentu mengikut garis panduan ditetapkan.

Idris yang juga mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), langkah itu mungkin memberi kesan kepada pendapatan negeri dan perniagaan, namun prinsip Islam perlu diutamakan.

“Kita sedar mungkin ada yang kata orang tak datang dan ekonomi jadi perlahan.

“Tetapi inilah dasar yang kita pegang,” katanya.

Idris turut memetik tindakan Ketua Menteri Tamil Nadu, C Joseph Vijay, yang menutup ratusan premis arak berhampiran lokasi tertentu walaupun menanggung kerugian besar demi menjaga moral masyarakat.

“Menang sahaja pilihan raya, Ketua Menteri Tamil Nadu terus mengarahkan 717 kedai arak yang beroperasi berhampiran stesen bas dan kuil ditutup walaupun tindakan itu menyebabkan kerugian kira-kira RM6 bilion.

“Hasil penjualan arak itu sebelum ini menyumbang antara 10 hingga 12 peratus pendapatan negeri Tamil Nadu,” katanya.

Menurut beliau, faktor moral dan keselamatan awam tidak boleh dipandang ringan terutama membabitkan kes kemalangan akibat mabuk.

Dalam pada itu, beliau berkata, Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, juga sanggup berdepan tindakan undang-undang selepas mengambil langkah menutup premis perjudian di negeri itu.

“Sanusi disaman kerana mengharamkan judi di Kedah, tetapi beliau sanggup lawan di mahkamah kerana mempertahankan dasar parti,” katanya.

Beliau berkata, PAS akan terus berdepan persepsi negatif yang cuba mengaitkan parti itu dengan imej ekstremis semata-mata kerana mempertahankan dasar Islam.

“Mereka cuba gambarkan PAS seperti pengganas, Taliban dan tidak pandai mentadbir.

“Namun kita yakin Islam adalah jalan yang lurus dan membawa kesejahteraan kepada rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/5/2026

- Advertisement -