
PUTATAN: Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah, Norsah Bongsu menegaskan bahawa sambutan Kaamatan bukan sekadar perayaan budaya, bahkan menjadi medium penting dalam memperkukuhkan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.
Menurutnya, walaupun rakyat Sabah terdiri daripada pelbagai kaum dan tradisi, semua mempunyai harapan yang sama iaitu menginginkan keamanan, kehidupan yang baik, pendidikan terbaik untuk anak-anak serta masa depan yang lebih sejahtera.
“Perbezaan bangsa dan budaya bukan penghalang untuk kita hidup bersatu. Hakikatnya, seluruh rakyat mempunyai impian yang sama iaitu mahu melihat negeri ini aman, harmoni dan terus maju.
“Kemajuan sesebuah negeri tidak hanya diukur melalui pembangunan fizikal semata-mata, tetapi turut bergantung kepada kesatuan hati dalam kalangan rakyatnya,” ujarnya dalam Program Jamuan Mesra Kaamatan di Kak Kiah Coffee House, di sini, hari ini.
Turut hadir Pesuruhjaya PAS negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, Ketua Dewan Ulamak PAS negeri, Ustaz Azman Jupri, Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Hendri Hamsah, Yang Dipertua PAS Kawasan Putatan, Ustaz Muhammad Akmal Othman, Penolong Setiausaha Agong Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Muslim SeMalaysia (KDRMS), Muhammad Irfan Abdullah dan Pengerusi Sabah Relief, Ustaz Mohd Tarmizi Mohd Yahya.
Tambah Norsah, hanya dengan kesatuan hati, saling percaya dan tiada rasa curiga, rakyat dapat hidup bersatu padu serta bersama-sama membangunkan negeri ini ke arah yang lebih baik.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Muslimat PAS negeri komited memainkan peranan sebagai jambatan perpaduan dalam masyarakat majmuk di Sabah.
“Justeru, kami sebagai pimpinan Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah mengambil tanggungjawab untuk menjadi jambatan perpaduan, merapatkan jurang perbezaan dan memadamkan rasa saling curiga melalui majlis sambutan seumpama ini,” katanya lagi.
Program tersebut turut diserikan dengan makanan tradisi suku kaum Kadazan, Dusun, Murut, Rungus, dan Sungai (KDMRS) serta sesi ramah mesra bersama mereka, mencerminkan semangat kekeluargaan dan keharmonian masyarakat Sabah yang terkenal dengan nilai toleransi serta perpaduannya.
Seramai 20 orang asnaf berbangsa KDRMS dan non-Muslim etnik tersebut yang berada dalam kategori kurang berkemampuan menerima bakul makanan.
Sumbangan berupa barangan keperluan harian tersebut bagi membantu meringankan beban mereka sebelum menyambut Pesta Kaamatan, Sabtu depan. – HARAKAHDAILY 24/5/2026











