
KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang supaya hubungan politik antara PAS dan BERSATU dikaji semula secara serius, matang dan menyeluruh.
Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Muhammad Hamdi Harun berkata, pendirian itu dibuat bukan atas dasar emosi atau dendam politik, sebaliknya mengambil kira keresahan akar umbi terhadap beberapa perkembangan mutakhir yang dilihat mencalar semangat setia kawan, kejujuran tahaluf dan adab berjemaah dalam kerjasama politik.
Menurutnya, PAS selama ini menunjukkan kesabaran yang tinggi, kesetiaan dan pengorbanan besar dalam membina kekuatan politik bersama, namun perkara itu tidak boleh dianggap sebagai kelemahan.
“Setia kawan bukan jalan sehala. Kerjasama politik tidak boleh hanya menguntungkan satu pihak, sedangkan satu pihak lagi terus diminta beralah, bersabar dan menelan luka,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, hubungan politik PAS dengan mana-mana parti perlu berasaskan prinsip, amanah, kejujuran dan penghormatan bersama.
Katanya, sekiranya prinsip berkenaan tidak dihormati, PAS wajar menilai semula kedudukan hubungan politik terbabit demi menjaga maruah perjuangan, kepentingan parti dan amanah ahli di seluruh negara.
“PAS bukan parti kecil yang boleh diperlakukan sesuka hati. PAS mempunyai sejarah perjuangan yang panjang, akar umbi yang kukuh, jentera yang setia, serta dukungan rakyat yang terbina atas dasar istiqamah dan pengorbanan.
“Maka, sebarang kerjasama politik tidak boleh menjadikan PAS sekadar tempat menumpang kekuatan ketika memerlukan, tetapi setelah itu, mengabaikan prinsip kesetiaan, kejujuran, penghormatan dan semangat muafakat yang menjadi asas kepada perjuangan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan beberapa isu yang berlaku di negeri seperti Perlis, Kedah dan Negeri Sembilan tidak boleh dipandang ringan kerana boleh menjejaskan hubungan sesama rakan gabungan serta mencabar kepimpinan PAS.
Beliau berkata, PAS tidak menolak kerjasama politik atau muafakat, namun ia perlu disertai kejujuran, kesetiaan dan prinsip yang jelas.
“Tanpa semua itu, hubungan politik hanya akan menjadi beban kepada perjuangan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru ahli dan penyokong PAS terus memberi kepercayaan kepada kebijaksanaan kepimpinan parti dalam menentukan hala tuju terbaik dalam landskap politik negara yang semakin mencabar.
“Dalam keadaan politik negara yang semakin tidak menentu, PAS mesti kekal sebagai parti yang tegas, berprinsip dan tidak mudah dipermainkan oleh mana-mana pihak.
“Kami percaya, kajian semula hubungan ini adalah langkah yang wajar, tepat dan perlu. Ia bukan semata-mata soal hubungan PAS dengan BERSATU, tetapi soal maruah perjuangan, kesetiaan rakan politik dan masa depan kekuatan Islam-Melayu di negara ini.
“Dewan Pemuda PAS Terengganu dengan ini berdiri teguh bersama Presiden PAS dalam mempertahankan prinsip perjuangan, menjaga maruah parti dan memastikan PAS terus dihormati sebagai kuasa politik utama negara,” katanya.
Terdahulu, PAS menyifatkan tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu di Negeri Sembilan yang menarik semula Akuan Bersumpah (SD) terhadap pembentukan kerajaan negeri sebagai tidak menghormati semangat setiakawan dalam Perikatan Nasional (PN).
Tuan Guru Abdul Hadi berkata, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah pun menghantar surat kepada BERSATU bagi menyatakan bantahan berhubung tindakan wakil parti itu. – HARAKAHDAILY 25/5/2026




















