Budak tahfiz ‘pick up’ kuat, sudah lama ambil SPM

Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kenyataan yang mengaitkan institusi tahfiz dengan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) berhubung keperluan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk kemasukan ke universiti tempatan disifatkan sebagai mengelirukan.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, pelajar tahfiz di negara ini sememangnya mengikuti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai asas penilaian akademik, selain pengajian agama yang dijalankan secara berstruktur di institusi masing-masing.

“Bayangkan UEC. Pandai licik mereka ni. Sekalikan dengan maahad tahfiz. Maahad tahfiz ambil SPM sudah lama. Tak dak (Tiada) perancangan kita maahad tahfiz ni nak ambil kononnya hanya ambil Bahasa Melayu dengan Sejarah. 

“Kita buat ‘first track’. Budak tahfiz ni dia ‘pick up’ kuat. Pokok pangkalnya kita ada SPM,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Pasca Sidang DUN, Isu Semasa Negara, di sini.

Beliau turut menyindir kemampuan sesetengah pihak dalam berbahasa Melayu yang menurutnya turut mencerminkan kekeliruan dalam berhujah mengenai isu pendidikan.

“Kalau pandai cakap Melayu tak adalah kita dengar wakil rakyat DAP duk cakap ‘terbulu-bulu’ (terburu-buru). Orang terburu-buru dia ‘terbulu-bulu’,” katanya dalam nada sinikal.

Beliau berkata, sebarang perbincangan mengenai sistem pendidikan baharu perlu dibuat secara berhati-hati agar tidak mengganggu struktur pendidikan nasional yang telah lama diamalkan.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/(UEC) berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA). 

KPT memaklumkan, langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA. – HARAKAHDAILY 25/5/2026

- Advertisement -