
KUALA LUMPUR: Pendirian Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berhubung kajian semula hubungan dengan parti tertentu perlu dilihat dari sudut positif bagi memastikan ia selari dengan aspek taawun siyasi dalam kerjasama politik.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya menjelaskan, dalam situasi politik semasa, pendekatan itu penting bagi memastikan persediaan lebih ampuh dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Beliau berkata demikian dipercayai susulan kenyataan Presiden PAS, yang meluahkan rasa kurang senang terhadap sikap BERSATU apabila menolak usaha memperkukuh Perikatan Nasional (PN).
Sikap BERSATU tersebut menurut Tuan Guru, termasuk menolak memperluas penyertaan parti-parti lain, kerana ia boleh menjejaskan kesepakatan gabungan tersebut.
Ahli Parlimen Marang itu menegaskan bahawa, PAS mahu memperkukuh PN tetapi akan menilai semula tindakan politik jika ia memberi kesan kepada sokongan dan strategi pilihan raya.
Walau bagaimanapun, menurut Ahmad Yahaya, kerjasama taawun siyasi adalah merujuk kepada langkah kerjasama politik yang melibatkan kepentingan bersama dan strategik.
“Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) ingin mengingatkan semua pihak mengenai pendekatan _taawun siyasi_ PAS dalam merangka kerjasama politik Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya ke-16 kelak,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau turut memetik firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah ayat 2 yang menegaskan mengenai anjuran saling membantu dalam kebajikan dan takwa serta larangan bekerjasama dalam dosa dan pencerobohan, yang dijadikan asas panduan dalam pendekatan tersebut.
Tambah Ahli Parlimen Pokok Sena itu, petikan ayat al-Quran itu menjadi asas kukuh kepada pendekatan politik taawun siyasi yang disifatkan sebagai bentuk kerjasama dan gabungan politik lebih longgar.
Beliau menegaskan, pendekatan berkenaan berdiri atas prinsip menerima pelbagai parti dan entiti yang mempunyai asas perjuangan sama serta tidak bersikap ekstrem.
“DUPP menegaskan bahawa kerjasama politik yang digerakkan mesti dalam kerangka amar makruf dan nahi mungkar selain meletakkan kepimpinan teras di kalangan Melayu-Islam sebagai bangsa teras dalam negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan PAS sebelum ini pernah mengadakan kerjasama dengan beberapa parti politik berasaskan tahaluf siyasi yang lebih bersifat permuafakatan dalam kerangka lebih mendalam dan khusus serta membabitkan jaringan kerjasama rasmi.
“Berbeza dengan pendekatan tahaluf, kerjasama taawun siyasi bersifat umum, tidak terikat selain tidak meletakkan syarat yang ketat dalam kerjasama yang dibentuk,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/5/2026




















