DAP mahu ganggu pegangan ekuiti Bumiputera pula?

Berselindung di sebalik ‘kesamarataan’

- Advertisement -

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Selangor meminta DAP berhenti berselindung di sebalik slogan ‘kesamarataan’ untuk mempertikaikan dasar yang bertujuan memperkukuhkan pegangan ekonomi Bumiputera dalam aset strategik negara.

- Advertisement -

Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar membidas cadangan membatalkan syarat pegangan ekuiti Bumiputera 50 peratus dan mengembalikannya kepada 30 peratus bagi pelupusan hartanah melebihi RM20 juta.

Iaitu terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) di mana tempelak Ustaz Sukri, desakan tersebut menunjukkan DAP masih gagal memahami asas pembinaan negara.

Menurut beliau, isu berkenaan bukan bersifat perkauman, sebaliknya melibatkan kestabilan nasional, keseimbangan ekonomi dan tanggungjawab kerajaan dalam memastikan kekayaan strategik negara tidak terus tertumpu kepada kelompok tertentu sahaja.

“Yang menghairankan, apabila pemilikan korporat besar terus dikuasai kelompok elit dan kapitalis tertentu, DAP menyebutnya sebagai ‘market freedom’.

“Tetapi apabila kerajaan cuba memperkukuhkan penyertaan Bumiputera dalam aset strategik milik negara, tiba-tiba ia dianggap ancaman kepada keharmonian,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mempersoalkan mengapa ada pihak begitu bimbang dengan syarat pegangan 50 peratus, sedangkan Bumiputera masih ketinggalan dalam aspek pemilikan ekuiti sebenar, pegangan korporat bernilai tinggi serta penguasaan sektor strategik.

Menurutnya, GLC dan GLIC bukan syarikat persendirian biasa kerana ia dibina menggunakan dana rakyat, melibatkan kepentingan awam serta mempunyai tanggungjawab sosial kepada negara.

“Maka kerajaan berhak menetapkan syarat yang melindungi kepentingan majoriti rakyat serta memperkukuhkan asas ekonomi Bumiputera sebagaimana semangat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Tambah beliau, cubaan menggambarkan dasar pengukuhan Bumiputera sebagai sesuatu yang ekstrem amat membimbangkan memandangkan jurang ekonomi dan pemilikan strategik masih belum dapat diselesaikan sejak negara mencapai kemerdekaan.

Katanya lagi, Lim Guan Eng perlu memahami bahawa kestabilan negara tidak dibina atas slogan liberalisme ekonomi semata-mata, sebaliknya berasaskan keseimbangan, kontrak sosial dan tanggungjawab menjaga sensitiviti serta hak yang termaktub dalam Perlembagaan.

“DAP sering bercakap tentang inklusif, tetapi apabila dasar sedikit memihak kepada pengukuhan Bumiputera dalam aset strategik negara, mereka menjadi pihak paling lantang menentang.

“Akhirnya rakyat melihat dengan jelas bahawa DAP tidak bermasalah dengan dominasi ekonomi, tetapi hanya bermasalah apabila dominasi itu mula dicabar demi memperkukuhkan kedudukan Bumiputera,” katanya.

Pada Ahad lalu, Lim Guan Eng menerusi satu kenyataan dilaporkan tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera kepada 50 peratus bagi pelupusan hartanah bernilai melebihi RM20 juta oleh GLC dan GLIC.

Menurut Penasihat DAP yang juga Ahli Parlimen Bagan itu, peningkatan syarat daripada 30 peratus kepada 50 peratus dilihat sebagai satu perubahan dasar yang perlu diteliti semula.

Beliau pada masa sama menegaskan bahawa pendekatan berasaskan pasaran perlu diberi perhatian supaya urus niaga komersial tidak terlalu dibebankan dengan syarat yang terlalu ketat sehingga boleh memberi implikasi terhadap kelancaran transaksi.

Selain itu, beliau kononnya bimbang perubahan dasar secara mendadak tanpa kajian menyeluruh boleh menimbulkan persepsi tidak konsisten dalam dasar ekonomi negara sekali gus memberi kesan terhadap keyakinan pihak berkepentingan. – HARAKAHDAILY 25/5/2026

- Advertisement -