
SEPANG: Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman berharap Global Sumud Nusantara dan Global Sumud Flotilla menjadi pencetus kepada gerakan seluruh dunia dalam menentang rejim Zionis Israel.
Beliau menegaskan, musuh sebenar ketika ini ialah rejim Zionis Israel yang disifatkan akan dilumpuhkan serta dimusnahkan kezaliman dan keangkuhannya.
Beliau menggesa, semua pihak menghentikan polemik berkaitan isu ‘wayang atau tidak wayang’ dalam misi solidariti Palestin, sebaliknya menumpukan perhatian terhadap perjuangan menentang rejim Zionis Israel.
“Mudah-mudahan Global Sumud Nusantara, Global Sumud Flotilla ini menjadi pencetus kepada gerakan seluruh dunia bahawa rejim Zionis Israel ini akan jatuh.
“(Dan) akan tersungkur, dia (Zionis Israel) akan dikalahkan oleh keadilan dan kekuatan manusia yang cintakan kepada keamanan,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan kepulangan delegasi Malaysia Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, malam tadi.
Seramai 28 delegasi Malaysia yang menyertai GSF 2.0 dan dibebaskan daripada tahanan Israel dilaporkan tiba di KLIA selepas berlepas dari Istanbul, Turkiye dan transit di Dubai dengan pesawat Emirates Airlines pada jam 9.30 malam.
Mereka turut dilaporkan bersama Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada 11.25 malam Sabtu sebelum transit di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sementara, salah seorang rakyat Malaysia yang menyertai GSF 2.0, Razman Mat Ali dilaporkan perlu meneruskan rawatan kira-kira dua minggu lagi di Istanbul, Turkiye selepas disahkan menghidap _‘Traumatic Pneumothorax’_ atau paru-paru bocor ekoran ditumbuk tentera Zionis Israel.
Walau bagaimanapun, Ahmad Tarmizi turut menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya mengenepikan perbezaan pandangan demi menjayakan misi besar membela Palestin.
“Saya yakin sokongan padu seluruh rakyat Malaysia, dan saya juga ingin bersama menyeru kita di Malaysia mulai malam ini kita tidak ada lagi perbezaan pandangan berkaitan misi besar kita ini.
“Kita berhimpun di KLIA ini mesej besar kita kepada seluruh dunia bahawa kita rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, tanpa mengira politik, tanpa mengira kaum dan bangsa dan agama, kita bersatu atas nama kemanusiaan, kemerdekaan mutlak untuk Palestin,” tambahnya.
Beliau dalam masa sama menyampaikan mesej solidariti kepada penduduk Gaza yang menurutnya terus menanti sokongan masyarakat dunia.
“Mesej kita yang kedua kepada seluruh rakyat di Gaza sana, dua juta rakyat di Gaza, mereka terus menanti dengan doa harapan tinggi kepada Allah SWT bahawa kita seluruh manusia sama ada di Malaysia dan di mana saja, mereka menunggu untuk kita menjejak kaki ke bumi Gaza. Insya-Allah,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan misi Global Sumud Flotilla berjaya membawa 29 aktivis Malaysia menjejakkan kaki ke bumi Palestin.
Menurutnya, walaupun mereka tidak sempat tiba di pantai Gaza, pengorbanan kumpulan terbabit tetap besar apabila berdepan tindakan tentera Zionis Israel di Ashdod.
“Global Sumud Flotilla ini telah berjaya, aktivis kita dari Malaysia 29 orang telah menjejak kaki ke bumi Gaza di sana. Mereka telah berjaya meletakkan jiwa dan raga mereka.
“Walaupun mereka tidak ada kesempatan untuk menjejak kaki di pantai Gaza tetapi ketika mana mereka diheret dicolek oleh tentera Zionis Israel itu di Ashdod itu, itulah bumi Palestin yang kita perjuangkan untuk kemerdekaan mutlak,” katanya lagi.
Beliau turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua aktivis terbabit yang disifatkannya sebagai barisan hadapan mewakili lebih 32 juta rakyat Malaysia dalam perjuangan bersama rakyat Palestin. – HARAKAHDAILY 25/5/2026




















