
KUALA TERENGGANU: Tindakan kompaun yang dikenakan terhadap penganjur sebuah program susulan isu tular baru-baru ini bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya sebagai langkah pembetulan dan pendidikan agar perkara sama tidak berulang.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri TerengganU, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tindakan itu diambil selepas siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan susulan aduan diterima daripada orang ramai.
Menurut beliau, kerajaan negeri mengambil serius setiap pandangan dan teguran masyarakat berhubung penganjuran program yang dikatakan tidak mematuhi syarat serta garis panduan ditetapkan.
“Teguran rakyat ini diterima dengan terbuka. Bagi kerajaan negeri, pandangan masyarakat bukan sesuatu yang harus diketepikan, sebaliknya menjadi ruang untuk memperbaiki pelaksanaan, memperkukuh penguatkuasaan dan memastikan setiap program yang dianjurkan di negeri ini berjalan dengan lebih tertib.
“Selepas aduan diterima, siasatan telah dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan dan tindakan kompaun dikeluarkan terhadap penganjur atas kesalahan yang dikenal pasti.
“Tindakan ini bukan dibuat secara terburu-buru dan bukan juga bertujuan menghukum semata-mata. Ia adalah langkah pembetulan dan pendidikan supaya perkara sama tidak berulang pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri menerusi portfolio Pemerkasaan Syariah bersama pihak berkuasa tempatan akan meningkatkan aspek pemantauan dan penguatkuasaan khususnya melibatkan program berskala besar, lesen hiburan serta perhimpunan awam.
“Langkah ini penting bagi memastikan setiap penganjuran benar-benar mematuhi syarat yang telah ditetapkan, bukan hanya pada peringkat permohonan, tetapi juga sepanjang program berlangsung.
“Kerajaan negeri juga akan meneliti ruang penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi memastikan garis panduan sedia ada lebih jelas, mudah difahami dan dapat dipatuhi oleh semua penganjur,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri tidak menghalang penganjuran program yang memberi manfaat kepada rakyat termasuk merancakkan ekonomi setempat dan membantu usahawan kecil.
“Namun keterbukaan itu tetap mempunyai garisnya.
“Setiap kelulusan yang diberikan datang bersama tanggungjawab. Penganjur perlu mematuhi syarat, sekatan dan garis panduan yang ditetapkan, termasuk aspek keselamatan, ketenteraman awam, sensitiviti masyarakat serta agama dan kesesuaian pengisian program,” tegasnya.
Tambah beliau, banyak program sebelum ini berjaya dilaksanakan dengan baik di Terengganu tanpa menimbulkan keresahan kerana penganjur memberi kerjasama dan mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan negeri.
“Ini membuktikan bahawa tiada masalah untuk menganjurkan program di negeri ini, selagi ia dibuat dengan tertib, bertanggungjawab dan berpandukan garis panduan.
“Kita mahu Terengganu terus menjadi negeri yang mesra kepada program bermanfaat, mesra kepada penganjur yang patuh peraturan dan pada masa sama kekal menjaga nilai, ketertiban serta keharmonian masyarakat,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan beberapa lelaki dan perempuan terkinja-kinja di sebuah acara dikenali sebagai Fantastic Food Fest by Kak Nab di Shahbandar, Kuala Terengganu.
Insiden tersebut turut mendapat perhatian Pemuda PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar yang mendesak pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan lebih tegas dalam memantau dan mengawal penganjuran program hiburan serta acara yang didakwa melampaui batas moral dan norma masyarakat setempat.
Ketua Pemuda PAS DUN Bandar, Ustaz Khairul Ammarnizam Khamaruzaman berkata pihaknya memandang serius penganjuran sebahagian program hiburan yang dilihat bercanggah dengan nilai agama, budaya dan akhlak masyarakat di Terengganu khususnya di sekitar DUN berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah memaklumkan kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas termasuk menyenarai hitam mana-mana penganjur acara atau persembahan yang gagal mematuhi garis panduan serta syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
Sehubungan itu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah mengambil tindakan dengan mengeluarkan kompaun terhadap penganjur sebuah program hiburan di bandar ini selepas didapati melanggar syarat dan garis panduan lesen yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
Datuk Bandar MBKT, Datuk Lizan Che Mat berkata, tindakan itu dibuat selepas pihaknya menjalankan semakan terperinci terhadap penganjuran program berkenaan, termasuk meneliti rakaman video yang tular di media sosial memaparkan aksi penonton yang mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat. – HARAKAHDAILY 25/5/2026




















