
KUALA LUMPUR: Pengamal undang-undang, Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir menyifatkan pendekatan politik Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru (TG) Abdul Hadi Awang sebagai sesuatu yang ’aneh’, namun percaya setiap keputusan dibuat mempunyai hikmah tersendiri yang hanya difahami pada waktu tertentu.
Beliau mengakui ada keputusan politik PAS yang pada awalnya dilihat merugikan, namun sejarah menunjukkan bacaan politik Ahli Parlimen Marang itu sering terbukti tepat.
“Sekalipun akal politik waras kita menjangkakan keputusan tersebut akan merugikan, fakta membuktikan selalunya akan ada ‘plot twist’ dalam setiap keputusan tersebut.
“Maka, selagi TG Presiden PAS yang mengemudi bahtera perjuangan, saya akan tetap berpegang dengan keputusan parti, walau ‘seaneh’ mana pun keputusan yang akan dibuat,” tulisnya menerusi hantaran media sosial milik beliau.
Muhammad Nazrul Hakim berpandangan, mantan Naib Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia itu tidak menjadikan jangkaan kemenangan sebagai ukuran utama dalam membuat keputusan politik.
Sebaliknya menurut beliau, Tuan Guru lebih menitikberatkan sejauh mana sesuatu tindakan mampu menguntungkan perjuangan dan membawa parti mencapai maksud penubuhannya.
“Sekalipun keputusan politik yang diambil mungkin akan membawa kepada jalan yang berliku, namun kesucian dan matlamat perjuangan tetap menjadi keutamaan,” ujarnya.
Beliau kemudian menyentuh kedudukan semasa Perikatan Nasional yang digerakkan bersama tiga lagi parti komponen termasuk BERSATU.
Menurut Nazrul, gelombang penolakan rakyat terhadap Kerajaan Madani semakin dirasai dan Perikatan Nasional dilihat antara alternatif untuk membentuk kerajaan.
“Walaupun begitu, baru-baru ini TG Presiden PAS mengeluarkan kenyataan bahawa kerjasama dengan BERSATU wajar dikaji semula, atas tindakan-tindakan BERSATU yang merugikan perjuangan serta tidak menghormati rakan parti komponen,” jelas beliau.
Muhammad Nazrul Hakim menyifatkan bacaan politik Tuan Guru sebagai paling sukar dijangka berbanding ahli politik lain.
“Mana-mana ahli politik akan membuat keputusan politik yang akan menangkan parti mereka,‘regardless of what happen’. Tapi TG Presiden PAS bukan begitu. Ada tindakan politiknya kadang-kadang sukar difahami,” jelasnya.
Beliau turut mengimbau situasi selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 2013 ketika gelombang penolakan terhadap Barisan Nasional masih kuat meskipun gabungan itu berjaya merampas beberapa kerusi dan negeri daripada Pakatan Rakyat.
Menurutnya, PAS ketika itu mempunyai peluang cerah untuk menjadi kerajaan sekiranya terus bersama Pakatan Rakyat dalam pilihan raya berikutnya.
“Tapi politik TG Presiden PAS memang ‘aneh’, PAS memilih untuk menilai semula kerjasama dengan Pakatan Rakyat. Alasannya, terdapat tindakan yang merugikan perjuangan serta dasar dan halatuju parti sepanjang persepakatan.
“‘Aneh’ kan? Kalau PAS kekal bersama Pakatan Rakyat ‘confirm’ akan jadi kerajaan. Apa nak susah-susah,” ulas beliau lagi.
Beliau bagaimanapun berpandangan keputusan itu akhirnya terbukti tepat selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara pada 2018.
Menurutnya, dasar-dasar kerajaan ketika itu merugikan agama, bangsa dan negara selain berdepan perpecahan dalaman sehingga gagal bertahan sepenggal.
“Kalaulah PAS masih dalam Pakatan Rakyat waktu tu, jenuh nak tanggung liabiliti,” tambahnya.
Muhammad Nazrul Hakim seterusnya menyentuh perkembangan politik sekitar 2019 hingga 2020 apabila gelombang penyatuan Melayu semakin ketara susulan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan 1.0.
Beliau menjelaskan penubuhan Muafakat Nasional (MN) menerusi kerjasama PAS dan Umno ketika itu diyakini mampu menggugat Pakatan Harapan.
“Dua parti besar Melayu Islam bergabung, siapa boleh lawan? ‘Confirm’ menang pilihan raya,” ulasnya.
Namun begitu, beliau menyifatkan tindakan PAS sekali lagi sebagai ‘aneh’ apabila memilih pendekatan penyatuan lebih besar melibatkan semua parti termasuk BERSATU serta parti kecil lain bagi menghadapi Pakatan Harapan.
Menurut beliau, PAS melihat MN semata-mata tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan yang benar-benar meyakinkan.
Beliau berpandangan bahawa keputusan itu juga akhirnya terbukti tepat apabila Perikatan Nasional berjaya menguasai 74 kerusi Parlimen pada pilihan raya lalu.
“PAS sendiri menguasai 43 kerusi, menjadikan PAS parti komponen terbesar dalam Dewan Rakyat kali pertama dalam sejarah.
“Umno pula terpaksa menggadai prinsip, lalu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menubuhkan kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/5/2026




















