
ALOR SETAR: Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan beliau bersetuju dengan kenyataan Presiden PAS, Tan Seri Tuan Guru Abd Hadi Awang untuk mengkaji semula hubungan parti itu bersama BERSATU.
Menurutnya, perkara dinyatakan Tuan Guru Abdul Hadi itu merupakan pendirian parti, setelah dibawa berunding berkaitan hal-hal yang berbangkit di dalam Mesyuarat Perikatan Nasional (PN) ke dalam mesyuarat parti.
“Apa yang disebut oleh Tuan Guru Presiden memang berlaku, walaupun kita tidak kecewa, tetapi kita sabar. Mungkin pada pandangan setengah orang, PAS menghadiri mesyuarat PN, keputusan dibuat di situ, jadi apa lagi yang tak puas hati kan?
“Orang kata, bagi Naib Presiden jadi Pengerusi PN, tetapi tak bagi buat keputusan. Kita tak londeh dasar parti kita dalam Mesyuarat PN. Mana yang boleh berunding, selesai di situ, kalau tak boleh selesai, bawa ke mesyuarat parti,” jelasnya.
Beliau yang juga Menteri Besar menyatakan demikian ketika ditemui media pada majlis serahan lembu korban di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon, di sini hari ini.
Kata Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah lagi, dalam mana-mana gabungan PAS sertai sebelum ini, sebarang keputusan tidak dibuat pada mesyuarat bersama parti gabungan.
Sebaliknya ujarnya, mana-mana perbincangan atau rundingan yang tidak selesai akan dibawa balik untuk diperhalusi di peringkat parti dijadikan keputusan pada mesyuarat akan datang.
“Zaman Tok Guru mewakili PAS ketika Pakatan Rakyat (PR) dulu, Tok Guru tak buat keputusan di situ (Mesyuarat PR), tetapi dia bawa balik dan runding di peringkat parti. Kemudian baru bawa semua keputusan itu dalam mesyuarat PR seterusnya.
“Itu proses yang kita lalui bersama beberapa pakatan dan gabungan, sebelum ini,” jelas Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah.
Berkaitan dua ADUN BERSATU di Negeri Sembilan yang menarik semula Akuan Berkanun (SD), atas arahan Biro Politik BERSATU beralasankan ADUN-ADUN Umno-Barisan Nasional juga akan melakukan tindakan sama katanya, perkara itu tidak boleh dipersetujui oleh PAS.
Jelas Sanusi, alasan yang diberi oleh BERSATU itu bukan keputusan, tetapi ia lebih kepada penjelasan dan PAS tidak boleh ‘endorsed’ (menyokong) atau menerima penjelasan untuk dipersetujui. .
“Keputusan untuk mengemukakan SD oleh ADUN-ADUN PN di Negeri Sembilan dibuat dalam perundingan dalam PN, tiba-tiba dua ADUN BERSATU tarik tanpa perundingan, kononnya biro partinya buat keputusan itu, tetapi tak maklum.
“Masa nak buat, buat sekali. Masa nak tarik, tarik sorang-sorang,” pertikai beliau terhadap penjelasan yang didedahkan Biro Politik BERSATU dalam satu kenyataan semalam..
Selain itu tegasnya, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS yang menganggotai Majlis Tertinggi PN mempunyai disiplinnya sendiri dan tidak boleh membuat keputusan sendiri kerana diikat oleh keputusan Majlis Syura yang menentukan polisi berkaitan hukum-hakam termasuk dasar-dasar parti.
“Itu proses yang berlaku dalam mana-mana pakatan yang disertai PAS. Sebab itu prinsip PAS kekal dan jelas. Bukan maksud pi sana, buang baju PAS, pakai baju PN, lepas tu buat ikut suka. PAS tetap PAS,” kata beliau.
PAS juga jelasnya, jarang sekali membuat kenyataan terbuka berkaitan hal-hal berkaitan PN berbanding pemimpin BERSATU, malah pendirian PAS adalah keputusan yang dikeluarkan oleh Tuan Guru Presiden sendiri.
Sementara kata Muhammad Sanusi lagi, di Kedah pentadbiran berjalan seperti biasa, tanpa isu-isu berbangkit, walaupun dua daripada ADUN dari parti BERSATU dipecat dan seorang digantung keahlian.
Setakat ini ujarnya, PN di negeri itu berjalan dengan baik, malah dua ADUN BERSATU yang dipecat, masih dikekalkan memegang jawatan Timbalan Speaker dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Kedah setakat ini tak ada apa-apa isu. Keadaan negeri stabil, hubungan berjalan baik seperti biasa. Saya baik dengan semua orang, tak ada masalah apa. Yang depa pecat, yang memecat, semua ok.
“Sebagai MB, saya nak pastikan keadaan stabil, aman dan kerja dengan lancar. Tetapi sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya, itu watak lain. Yang tu kena pi ceramah. Watak saya di sana,” tegas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 25/5/2026











