
KUALA LUMPUR: PAS sekiranya mengamalkan budaya ‘mullah’ seperti didakwa pihak tertentu, sudah tentu tidak akan memperlihatkan kewujudan muktamar, proses undian, perbahasan serta Majlis Syura Ulamak dalam parti.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menjelaskan, realitinya PAS mempunyai sistem organisasi yang formal, tersusun dan demokratik sejak puluhan tahun lalu.
Beliau mengupas demikian sebagai mengulas dakwaan tersebut yang cuba diperkukuhkan melalui kenyataan sumber anonim disiarkan portal Malaysiakini pada hari sama.
Sumber tersebut dilaporkan mendakwa PN ‘tidak guna sistem mullah’ sambil memberi gambaran seolah-olah PAS mahu menguasai keputusan gabungan secara unilateral dan Presiden PAS mempunyai kecenderungan untuk membuat veto terhadap keputusan PN.
Namun begitu, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menegaskan, kenyataan sumber berkenaan sendiri bercanggah besar dalam hujahnya.
“Pada satu sisi sumber ini mengakui keputusan PN dibuat melalui konsensus dan Mesyuarat Majlis Tertinggi. Namun masa sama cuba menyalahkan struktur PAS serta kedudukan Presiden PAS apabila keputusan tidak dapat dimuktamadkan mengikut kehendak mereka.
“Ini menunjukkan masalah sebenar bukanlah soal ‘mullah’, tetapi ketidakupayaan sesetengah pihak menerima bahawa PAS mempunyai proses dalaman tersendiri sebelum sesuatu keputusan politik boleh dimuktamadkan,” tegasnya.
PAS bukan milik individu
Ahmad Fadhli menegaskan, PAS bukan parti milik individu, sebaliknya Presiden parti tidak boleh membuat keputusan sesuka hati tanpa melalui Majlis Syura Ulamak, Dewan Harian dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Beliau menambah, kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang lahir selepas beberapa siri mesyuarat rasmi parti, sekali gus menolak dakwaan bahawa keputusan dibuat secara peribadi.
“Maka amat tidak masuk akal apabila PAS dituduh mengamalkan budaya ‘mullah’ sedangkan struktur syura itulah yang sebenarnya menjadi mekanisme semak dan imbang dalaman parti,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau mengulas tulisan Jalil Backer dalam akhbar Sinar Harian yang bertajuk ‘Idea Politik Bahaya PN’ yang cuba menggambarkan Tuan Guru membawa budaya politik ‘mullah’ ala Iran ke dalam politik Malaysia.
Beliau menyifatkan dakwaan tersebut sebagai keterlaluan serta tidak selari dengan struktur organisasi PAS dan realiti dalam Perikatan Nasional (PN).
“Apa yang cuba dilakukan oleh Jalil sebenarnya ialah menakut-nakutkan rakyat dengan naratif emosional dan persepsi politik, bukannya berhujah berdasarkan fakta organisasi dan proses dalaman PAS
“Beliau cuba menggambarkan bahawa setiap kenyataan Tuan Guru Abdul Hadi adalah keputusan peribadi yang mengatasi gabungan politik PN, sedangkan hakikat sebenar adalah sebaliknya,” tempelak beliau.
Keputusan Presiden PAS bukan spontan
Ahmad Fadhli menjelaskan, kenyataan Tuan Guru pada 22 Mei lalu mengenai keperluan menilai semula hubungan dengan BERSATU bukan dibuat secara spontan atau emosional atau berbentuk ‘titah individu’ sebagaimana cuba digambarkan oleh Jalil.
Sebaliknya menurut beliau, ia hasil beberapa siri perbincangan rasmi termasuk lebih lima mesyuarat Dewan Harian PAS Pusat dan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Beliau menambah, perkara itu turut dibentangkan serta diterima dalam Mesyuarat Majlis Syura Ulamak dan Dewan Harian PAS Pusat pada 18 Mei lalu.
“Ini bermaksud keputusan dan pendirian PAS dibuat melalui mekanisme syura, kajian lapangan, perbincangan kolektif dan struktur organisasi parti, bukannya berdasarkan kehendak seorang individu.
“Maka bagaimana Jalil boleh menyamakan proses syura parti politik dengan sistem ‘mullah’ Iran? Tuduhan ini memperlihatkan kegagalan beliau memahami struktur PAS sendiri,” bidasnya.
Menurutnya lagi, PAS merupakan antara parti paling tersusun dari sudut perlembagaan dengan Majlis Syura Ulamak sebagai badan tertinggi, diikuti Dewan Harian PAS Pusat, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, muktamar tahunan serta struktur negeri dan kawasan yang berfungsi secara kolektif.
Beliau menegaskan Presiden PAS sendiri tertakluk kepada keputusan jamaah dan syura, bukannya bertindak secara individu.
*Isu ‘lame duck’ Dr Sam dibidas*
Mengulas dakwaan sumber dalaman BERSATU yang melabel Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr Sam) sebagai ‘lame duck’, beliau menyifatkan ia sebagai cubaan memperlekeh kedudukan pemimpin yang tertakluk kepada struktur parti.
“Naratif ini sangat berbahaya kerana ia seolah-olah mahu menggambarkan bahawa seseorang pemimpin hanya dianggap kuat jika bebas bertindak tanpa perlu terikat kepada keputusan organisasi parti.
“Sedangkan dalam PAS kekuatan organisasi terletak pada budaya syura dan keputusan kolektif, bukannya kuasa mutlak individu. Jika benar PAS amalkan sistem ‘mullah’, maka tidak mungkin Presiden PAS sendiri perlu bawa isu ke Majlis Syura Ulamak dan Dewan Harian sebelum membuat pendirian rasmi.
“Sebaliknya apa yang berlaku hari ini menunjukkan PAS sangat terikat dengan proses organisasi sehingga setiap keputusan besar memerlukan penelitian dan persetujuan pelbagai peringkat pimpinan,” tegasnya.
Menurutnya, pelantikan Dr Sam sebagai Pengerusi PN dibuat melalui mesyuarat rasmi gabungan, sekali gus menolak dakwaan bahawa PN dikawal secara autoritarian.
Ahmad Fadhli turut menolak gambaran bahawa PAS menguasai Perikatan Nasional secara mutlak, sebaliknya menegaskan setiap keputusan gabungan dibuat melalui mesyuarat dan konsensus.
Beliau menambah, dalam mana-mana parti politik, pengaruh kepimpinan adalah perkara biasa termasuk dalam Umno dan PKR, justeru tidak wajar ia dijadikan isu hanya terhadap PAS.
Isu sebenar PN
Beliau berkata, PAS kini sedang membuat penilaian politik berdasarkan perkembangan semasa dalam PN, khususnya krisis dalaman BERSATU yang semakin memberi kesan kepada kekuatan gabungan.
“Kenyataan (Tuan Guru) Abdul Hadi bukan muncul secara tiba-tiba. Ia adalah penelitian dan analisis sejak 4 hingga 5 bulan lalu berkaitan kemelut dalaman BERSATU, khususnya konflik melibatkan kepimpinan parti itu dengan kumpulan ‘Team Reset’ yang dikaitkan dengan Dato’ Seri Hamzah Zainudin.
“Laporan Pesuruhjaya-pesuruhjaya PAS Negeri dari seluruh negara mahupun dari kaji selidik tertentu memberikan gambaran bahawa krisis dalaman BERSATU sudah mula melemahkan struktur PN di peringkat akar umbi.
“Banyak Bahagian dan Cawangan BERSATU dilaporkan bubar, lumpuh atau semakin cenderung untuk bersama kumpulan ‘Reset’. Dalam keadaan sebegini, PAS melihat isu ini bukan lagi sekadar konflik dalaman sebuah parti, tetapi sudah menjadi masalah struktur kepada PN sendiri.
“Jalil cuba menggambarkan PAS sebagai pihak yang mencetuskan ketegangan dalam PN, sedangkan hakikatnya PAS selama ini banyak mengalah demi menjaga kestabilan gabungan,” bidasnya.
Dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Mei lalu katanya, turut berlaku perbincangan berkaitan permohonan beberapa parti Melayu-Islam untuk menyertai gabungan itu, namun ditangguhkan bagi mengelakkan ketegangan.
“Dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Mei lalu, berlaku ketegangan berkaitan permohonan empat parti Melayu-Islam untuk menyertai PN.
“Namun wakil-wakil PAS mengambil pendekatan untuk tidak memanjangkan pertikaian demi mengelakkan suasana menjadi lebih panas. Kerenah wakil-wakil BERSATU ini sekali gus mengesahkan analisa Presiden PAS.
“Malah, dilaporkan Ahmad Samsuri selaku Pengerusi PN telah memutuskan untuk menggantung perbincangan agenda tersebut dan beralih ke agenda lain.
“Namun, tindakan ini telah diolah dan ditafsirkan pula oleh BERSATU sebagai ketetapan mesyuarat mengikut kepentingan mereka,” tempelaknya lagi.
Ahmad Fadhli menegaskan, PAS tidak mencetuskan ketegangan dalam PN, sebaliknya mengambil pendekatan mengutamakan kestabilan gabungan meskipun berdepan cabaran dalaman komponen lain.
Beliau menegaskan bahawa, perbezaan pandangan dalam politik adalah perkara biasa, namun ia tidak wajar diputar sebagai naratif ‘mullah’ atau ancaman sistem politik negara. – HARAKAHDAILY 25/5/2026











