
HULU SELANGOR: Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menegaskan bahawa pelancaran jentera oleh PAS dan Perikatan Nasional (PN) di beberapa negeri menunjukkan persediaan menghadapi kemungkinan pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.
“Persiapan jentera pilihan raya parti di negeri-negeri dan kawasan-kawasan sedang berjalan. Di Perak kita telah melancarkan peringkat negeri dan di kawasan-kawasan juga ada sudah dilancarkan.
“Ertinya semua kawasan berada dalam ‘mood’ berjaga-jaga dan persiapan untuk menghadapi PRU16. Buat cepat pun okey, buat lambat pun okey,” katanya.
Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai memaklumkan, setakat ini belum ada penerimaan rasmi mana-mana parti baharu untuk menyertai PN di peringkat nasional.
“Dalam tempoh sekarang belum ada lagi penerimaan parti-parti baharu. Mereka mungkin masih berada dalam gabungan atau kerjasama isu bersama terutama dalam memperjuangkan undi Melayu,” jawabnya kepada soalan media.
Mengulas momokan yang memburukkan PAS dan PN kepada kaum bukan-Melayu, beliau berharap peranan itu dimainkan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) dan BERSATU agar lebih aktif terutama dalam media sosial bagi menangkis serangan.
“Mereka perlu aktif di media sosial memberi reaksi balas kepada isu-isu memburukkan PAS yang menggunakan gambar atau maklumat tidak betul. Orang yang layak menjelaskan dalam bahasa dan dialek kaum masing-masing ialah daripada BERSATU dan DHPP,” katanya.
Mengulas politik semasa, Datuk Idris berkata tindakan Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli yang mengambil sikap untuk berundur memberi gambaran jelas mengenai penolakan rakyat terhadap PKR dan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, keputusan rakyat Sabah dalam pilihan raya negeri sebelum ini juga telah menunjukkan wujud keberanian rakyat menolak kepimpinan Kerajaan Pusat.
“Kita tengok di Sabah, rakyat membuat keputusan yang hebat walaupun akses maklumat dan media di sana terhad. Daripada pelbagai reaksi termasuk di media sosial, kemarahan rakyat terhadap kerajaan hari ini sangat jelas,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menyentuh isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) di mana menegaskan PAS tidak pernah menentang pembelajaran bahasa asing atau kewujudan sekolah Cina.
“Kita tidak anti sekolah Cina. Ramai anak pimpinan PAS belajar di sekolah Cina. Hadis Nabi menyebut supaya belajar bahasa asing kerana ia memberi manfaat dan keselamatan. Bahasa Mandarin, Tamil dan lain-lain tidak ada masalah,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, isu sebenar ialah soal pengiktirafan sijil yang perlu sepatutnya mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Pendidikan Negara.
“Sebagaimana banyak sekolah tahfiz dan pondok yang sijilnya tidak diiktiraf kerajaan, ibu bapa tetap hantar anak mereka belajar di sana walaupun tahu tidak boleh bekerja dengan kerajaan,” katanya.
Beliau turut berkongsi pengalaman ketika belajar di Kolej Islam dan pengiktirafan sijil untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar sebelum kerajaan menetapkan syarat tambahan seperti Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
“Kita bukan menentang sekolah Cina atau UEC, tetapi soal pengiktirafan perlu jelas dan tidak boleh bercanggah dengan Perlembagaan. Kita tidak mahu membuat janji populis kerana akhirnya boleh melanggar apa yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/5/2026




















