
ALOR SETAR: Mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk kemasukan ke universiti awam negara, membuktikan Kerajaan Madani tidak tegas mempertahankan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang telah dibina sejak sekian lama.
Ustaz Noor Hakimi Ab Halim berkata, perkara ini bukan sekadar isu kemasukan ke institusi pengajian tinggi tetapi melibatkan masa depan identiti nasional, prinsip pendidikan kebangsaan serta arah pembinaan negara bangsa Malaysia.
“Keputusan seperti ini dilihat sebagai langkah kebelakang dalam usaha memperkukuhkan perpaduan nasional melalui satu sistem pendidikan yang berteraskan identiti negara,” tegas Pengerusi Gerak Rakyat Hidupkan Amar Maaruf Hancur Aktiviti Maksiat (GERAHAM) itu.
Beliau juga berpandangan, sewajarnya pemimpin negara memahami dan menjiwai semangat pembinaan negara bangsa yang diasaskan atas kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan
Perlembagaan Persekutuan.
“Sistem pendidikan nasional adalah alat penyatuan rakyat pelbagai kaum. Namun hari ini, prinsip tersebut semakin dilonggarkan sedikit demi sedikit, demi memenuhi tekanan dan kepentingan politik tertentu,” tambah beliau.
Malah kata Ustaz Hakimi lagi, tindakan itu juga dilihat satu normalisasi yang luar kebiasaan serta bercanggah dengan semangat asal pembinaan negara di mana dahulunya dianggap sensitif terhadap identiti nasional.
Perkara yang dahulunya dianggap sensitif katanya, kini mula dibiasakan secara perlahan-lahan sehingga rakyat semakin dipaksa menerima kompromi berterusan.
“Jika keadaan ini terus dibiarkan, rakyat perlu bersedia melihat lebih banyak lagi perkara asas negara yang mungkin akan tergadai pada masa hadapan.
“Hari ini isu UEC diperluaskan. Esok mungkin muncul tuntutan lain yang lebih besar sehingga akhirnya asas perpaduan nasional menjadi semakin rapuh,” tambah beliau lagi.
Kerajaan tegas beliau, tidak sepatutnya mengambil keputusan mengundur ke belakang sebaliknya perlu memperkukuhkan sistem pendidikan kebangsaan dan memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu.
Juga ujarnya, memastikan semua dasar pendidikan bergerak selari dengan semangat perlembagaan serta kepentingan nasional negara.
Dalam pada itu katanya, masyarakat awam juga tidak boleh terus berdiam diri dan perlu memahami kepentingan mempertahankan identiti nasional, berani menyuarakan pandangan secara matang serta bertanggungjawab.
“Isu pendidikan bukan sekadar soal akademik, tetapi berkait rapat dengan masa depan negara dan generasi akan datang.
“Badan-badan pertubuhan bukan kerajaan sama ada NGO Melayu, NGI Islam mahupun NGO pendidikan, perlu memainkan peranan lebih aktif sebagai suara semak dan imbang kepada kerajaan.
“Penerangan kepada rakyat, wacana ilmiah serta pendirian yang jelas perlu diperkasakan supaya asas negara tidak terus dikompromi sedikit demi sedikit,” ulasnya lagi.
Selain itu, Ustaz Hakimi juga mengharapkan parti-parti politik perlu kembali kepada prinsip keberanian mempertahankan dasar kebangsaan dan jangan kerana kepentingan kuasa serta survival politik, pembinaan negara, bangsa sanggup diketepikan.
“Malaysia tidak boleh dibina atas kompromi tanpa batas sehingga akhirnya negara kehilangan arah, identiti dan jati diri sendiri.
“Sudah tiba masanya semua pihak bangkit mempertahankan asas pendidikan kebangsaan sebelum lebih banyak perkara tergadai pada masa hadapan,” tegas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 17/5/2026











