UEC: Tolak selain dasar pendidikan negara, itu prioriti

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) disarankan agar  menilai semula kedudukan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang diiktiraf layak ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

- Advertisement -

Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, sewajarnya KPT berusaha mempertahankan kedudukan sijil-sijil peperiksaan awam sedia ada untuk ke menara gading, bukannya membuat keputusan tidak masuk akal.

“Keputusan tersebut seolah-olah mahu menjadikan EUC sebagai salah satu dasar pendidikan baru negara. Adakah keputusan yang dilaksanakan ini dapat meningkatkan kualiti sistem pendidikan tinggi negara? 

“Atau akan menjadikan jurang dualisme dasar pendidikan kebangsaan, yang menjadi lebih lebar dan tajam suatu hari nanti,” soal Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah itu lagi.

Kata Dr Ahmad, seandainya ada pihak cuba samakan tindakan itu dengan kemasukan pelajar aliran tahfiz ke IPTA yang dibolehkan sebelum ini, itu adalah tidak wajar.

Kata Ahli Parlimen Kuala Kedah itu, pelajar aliran tahfiz yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA, sememangnya telah melepasi syarat kemasukan ke institut pengajian tersebut.

“Ada yang ambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan ada yang menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Kedua-dua sijil tersebut merupakan tiket untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA.

“Tetapi isu ini menjadi panas apabila pihak KPT turut sama membenarkan kemasukan pelajar lepasan UEC untuk memasuki IPTA sebagaimana kelayakan pelajar aliran Tahfiz yang lulus SPM mahupun STAM,” tegas beliau.

Oleh itu, tidak keterlaluan ujarnya, apabila KPT didesak banyak pihak agar menilai semula kedudukan UEC untuk kemasukan ke IPTA
kerana sistem penilaian pendidikan negara umpama saudara kandung kepada dasar pendidikan kebangsaan.

“Ia tidak pula terpisah dengan sistem pengajian arus perdana. Tertinggal satu, maka terputuslah semuanya. Sewajar kita sama-sama perkukuhkan dasar pendidikan kebangsaan, sistem penilaian dan peperiksaan, tolak selainnya. Itu prioriti,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 17/5/2026

- Advertisement -