PN Hulu Selangor siap siaga pertahan kemenangan PRU16

- Advertisement -

HULU SELANGOR: Perikatan Nasional (PN) Hulu Selangor menyatakan kesediaan sepenuhnya gabungan itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) susulan pelancaran rasmi jentera pilihan rayanya pada Ahad lalu.

Yang Dipertua PAS Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun berkata, pelancaran itu membuktikan seluruh Jentera PN di Hulu Selangor berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya diadakan lebih awal.

- Advertisement -

“Kita telah selesai melancarkan jentera PN di Hulu Selangor dan tujuan utama sudah pasti untuk menyatakan bahawa PN Hulu Selangor telah bersedia berhadapan dengan pilihan raya.

“Keduanya, kita juga bersedia mempertahankan kemenangan di kerusi Parlimen serta dua Dewan Undangan Negeri (DUN) dan insya-Allah kita akan merampas satu lagi DUN di Kuala Kubu Baharu,” katanya ketika sidang media selepas pelancaran Jentera PN Hulu Selangor.

Mengulas kononnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan akan bertanding di kawasan itu, beliau berkata pihaknya mahu Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri turun bertanding di Hulu Selangor.

“Kami tak mahu Menteri Agama, kami mahu Perdana Menteri bertanding di sini,” selorohnya yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor memberikan cabaran tersebut.

Selain itu, beliau turut menyentuh titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkaitan isu penternakan babi yang sebelum ini dibangkitkan, khususnya melibatkan kawasan Bukit Tagar.

Menurut Mohd Hasnizan, isu tersebut telah diuruskan, namun PN Hulu Selangor akan terus memastikan perkara berkenaan tidak berulang.

“Kami di Hulu Selangor akan pertahankan supaya tidak berlakunya penternakan babi di kawasan ini,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada Himpunan Daulat Tuan yang berlangsung di Shah Alam pada Sabtu berkaitan isu tersebut, yang disifatkan mendapat sambutan menggalakkan.

“Memang ramai yang hadir, malah kehadiran melebihi jangkaan asal. Video-video yang ada boleh membuktikan perkara itu,” ujarnya.

Beliau dalam sidang media itu turut mendedahkan bahawa program pelancaran jentera berkenaan berdepan beberapa kekangan pada saat akhir apabila pihak penganjur pada awalnya diminta menghentikan program.

Namun katanya, pihak penganjur telah membantah kerana persiapan telah dilakukan dan program diteruskan dengan beberapa syarat dikenakan.

“Apabila kita teruskan juga program, beberapa syarat dikenakan termasuk mencabut bendera dan tidak dibenarkan membuat siaran langsung,” jelasnya.

Tambah beliau, arahan tersebut difahamkan bukan datang daripada pentadbiran setempat, sebaliknya daripada pihak pentadbiran negeri, namun program tetap diteruskan sehingga selesai.

Dalam pada itu, beliau menolak aduan pihak tertentu yang menyifatkan himpunan berkaitan sebagai sia-sia, sebaliknya menegaskan sambutan yang diterima amat memberangsangkan.

“Bagi saya itu satu kenyataan yang tidak tepat. Hakikatnya jelas menunjukkan prinsip kita untuk mempertahankan sistem demokrasi Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/5/2026

- Advertisement -