
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan memperkukuh agenda pembangunan sukan secara komprehensif dengan memberi tumpuan utama kepada persediaan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Mohamad berkata, pendekatan strategik melalui perancangan tersusun dan tadbir urus berkesan menjadi tunjang bagi melonjakkan prestasi atlet negeri.
“Usaha ini penting bagi memastikan pembangunan sukan dilaksanakan secara mampan, terarah dan berimpak tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian susulan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Majlis Sukan Negeri Kelantan Kali Ke-110.
“Mesyuarat ini memfokuskan kepada penyelarasan hala tuju serta pelaksanaan program pembangunan sukan negeri bagi tahun semasa, termasuk usaha memperkukuh keseluruhan ekosistem sukan,” katanya.
Tambah beliau, perbincangan turut memberi penekanan terhadap persediaan menghadapi SUKMA 2026 selain memperkasa pembangunan atlet dan meningkatkan kualiti kejurulatihan.
Menurutnya lagi, antara keutamaan ialah merangka program berimpak tinggi yang mampu melonjakkan prestasi atlet Kelantan agar lebih kompetitif di peringkat lebih tinggi.
“Keberhasilan agenda pembangunan sukan negeri memerlukan komitmen berterusan semua pihak termasuk agensi kerajaan, persatuan sukan dan pemegang taruh.
“Kerjasama padu semua pihak akan menjadi pemangkin kepada kejayaan serta kecemerlangan sukan Kelantan pada masa hadapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/3/2026




















