50,000 dijangka hadir Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan

Asri Mat Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kira-kira 50,000 pengunjung dijangka menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan yang bakal  berlangsung pada Sabtu ini, 28 Mac 2026 di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata pihaknya mempelawa seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang untuk bersama-sama menghadiri program tahunan tersebut.

Menurut beliau, penganjuran kali ini mengekalkan tradisi gotong-royong, dengan penyediaan juadah dilakukan oleh ahli parti di peringkat kawasan serta kerjasama Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat.

“Pelbagai hidangan istimewa menanti pengunjung termasuk nasi Arab, nasi kerabu, nasi dagang, laksa, gulai kawah, sate dan murtabak, melibatkan lebih 20 gerai makanan,” ujarnya.

Tambah beliau, program berkenaan dilaksanakan tanpa melibatkan dana kerajaan, sebaliknya digerakkan melalui sumbangan ahli dan pihak persendirian, selaras dengan pendekatan sederhana dan berhemah.

“Selain menikmati juadah, pengunjung juga berpeluang merapatkan silaturahim bersama pemimpin, tokoh masyarakat serta rakan-rakan daripada pelbagai kaum dalam suasana penuh harmoni.

“Ayuh hadir beramai-ramai bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri dalam semangat kebersamaan dan perpaduan,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/3/2026

- Advertisement -