
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa mengadakn siasatan berhubung isun melibatkan seorang ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dikatakan menerima RM9.5 juta daripada ahli perniagaan, Victor Chin.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli berkata demikian dalam satu kenyataan di media sosialnya pada hari ini.
“Jika SPRM sudah selesai berhari raya, dimohon untuk disiasat Victor Chin kertana sudah mengaku beri RM9.5 juta kepada seorang MP (Ahli Parlimen) PKR.
“Takkanlah nak tunggu kelulusan PMX (Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pula,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.
Terdahulu, Victor Chin dalam laporan media dilaporkan mendakwa telah menyerahkan wang sebanyak RM9.5 juta kepada seorang Ahli Parlimen daripada PKR bagi membantu ahli perniagaan itu menyelesaikan isu yang membelenggu beliau berhubung skandal ‘mafia korporat’.
Perkara itu telah didedahkan Victor menerusi dokumen setebal 40 muka surat yang turut memperincikan kronologi berkaitan isu ‘mafia korporat’ membabitkan Syarikat NexG Berhad.
Beliau menyatakan, pada 18 Oktober 2025, Ahli Parlimen PKR terbabit telah memintanya agar mengatur wang tunai RM10 juta dan berjanji akan menyelesaikan masalah ahli perniagaan itu dengan berunding dengan ‘Geng Mafia Korporat.’
‘Meskipun berdepan dengan ancaman, penahanan reman, akaun bank dibekukan beberapa lagi tindakan penguatkuasaan, Victor masih ditekan untuk menyediakan sejumlah wang yang banyak dengan meminjam kepada ah long,” kata dokumen yang didedahkan Victor kepada media semalam.
Victor juga mendedahkan sejumlah RM9.5 juta telah diserahkan kepada Ahli Parlimen tersebut namun baki RM500,000 tidak pernah diserahkan kerana Ahli Parlimen berkenaan tidak menunaikan janjinya untuk menyelesaikan isu terbabit.
Sehubungan itu, Victor menyeru agar Ahli Parlimen terbabit memulangkan wang RM9.5 juta itu kepadanya sebelum 30 Mac 2026, atau beliau akan mendedahkan identiti Ahli Parlimen terbabit.
Beliau turut menyebut beberapa nama, agensi dan pangkat individu-individu terbabit yang didakwanya menjadi ‘watak penting’ di dalam skandal berkenaan.
Dalam e-mel yang sama kepada media, Victor turut menyertakan kenyataan yang menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Ismail untuk membongkar kebenaran yang sebenarnya di sebalik dakwaan skandal mafia korporat.
“Saya percaya Khalid turut mengetahui siapa mafia korporat sebenar dalam skandal NexG Bhd,” katanya.
Sehubungan itu, Victor juga dilaporkan menyokong penuh penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan dan menyelesaikan isu berkenaan. – HARAKAHDAILY 25/3/2026




















