Perkasakan peranan CIC untuk tangani trauma kanak-kanak

Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peningkatan jumlah kes yang dikendalikan oleh Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkasakan peranan CIC bagi memastikan perlindungan serta pembelaan yang lebih efektif kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah.

Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mendesak kerajaan supaya menambah baik fungsi CIC, termasuk memperkukuhkan mekanisme menangani trauma yang dialami oleh mangsa.

- Advertisement -

“Semenjak CIC ini ditubuhkan, berapa banyak kes yang dikendalikan? Apabila jenayah melibatkan kanak-kanak, sudah pasti melibatkan trauma yang lebih mendalam. Jadi apa bentuk mitigasi khusus kementerian dalam menangani isu trauma ini?

“Adakah akan diperkenalkan alternatif lain kalau CIC agak kurang di beberapa tempat di pedalaman untuk mengadakan alternatif temu bual secara dalam talian bagi menangani dan mempercepatkan kes-kes yang melibatkan jenayah kanak-kanak?” katanya ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, ketika menjawab soalan ini berkata, jumlah rakaman yang dikendalikan oleh CIC semakin meningkat setiap tahun, dengan 2,013 rakaman pada 2022, 2,483 pada 2023, dan 3,333 pada 2024.

“Kementerian sentiasa meningkatkan keupayaan dari semasa ke semasa dan berharap dapat terus memainkan peranan untuk memastikan bahawa kanak-kanak diberikan pembelaan yang terbaik,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2025

- Advertisement -