Sampah tidak terurus jejas kesihatan penduduk

Ahmad Dullah
- Advertisement -

KALABAKAN: Isu sampah yang tidak terurus di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu, berada di tahap yang membimbangkan dan memberi kesan langsung kepada kesihatan penduduk setempat.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Ahmad Dullah menegaskan, masalah tersebut memerlukan tindakan segera daripada semua pihak.

“Sistem pengurusan sampah berada di tahap sederhana dengan lambakan sampah yang sering berlaku di beberapa kawasan terutamanya rumah atas air.

“Ini menyebabkan penduduk membuang sampah ke laut dan kesannya mencemarkan persekitaran,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, tapak pembuangan sampah juga tidak diselenggara dengan baik telah menambah lagi masalah sedia ada.

Tambahnya, keperluan tong sampah yang mencukupi amat penting untuk mengelakkan lambakan sampah.

“Pendidikan dari peringkat sekolah, tempat kerja, dan kawasan kediaman perlu ditingkatkan untuk memupuk kesedaran tentang pentingnya pengurusan sampah yang betul.

“Seterusnya, tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan berkaitan pengurusan sampah,” katanya yang juga Yang Dipertua PAS Kalabakan

Katanya, kerjasama antara pihak berkuasa tempatan (PBT), sektor swasta, dan badan bukan kerajaan (NGO) melalui aktiviti gotong-royong dapat membersihkan kawasan yang tercemar.

Beliau turut menekankan bahawa, sampah adalah masalah global yang memberi kesan besar kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.

Menurutnya, pengurusan sampah yang tidak cekap boleh membawa kepada masalah kesihatan, menjadi tempat pembiakan serangga dan haiwan perosak, manakala sisa bahan kimia pula boleh mencemarkan air dan merosakkan tanaman serta ternakan.

Katanya lagi, penglibatan komuniti penting bagi memastikan persekitaran yang bersih dan lestari dengan mengamalkan kitar semula, kempen kesedaran, gotong-royong serta pendidikan alam sekitar.

“Pembangunan infra yang baik merupakan kunci kepada sistem pengurusan sampah yang baik. Tanpa infra dan kemudahan yang mencukupi, sisa pepejal boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar, penduduk akan hadapi masalah kesihatan,” ujar beliau.

Beliau menyarankan, bagi memastikan pengurusan sampah yang mampan, strategi jangka panjang perlu dirangka dengan fokus kepada pengurusan sisa dan kerjasama semua pihak.

Menurutnya, penggunaan teknologi hijau dan inovasi seperti sistem tong sampah pintar yang menggunakan sensor untuk mengesan tahap penuh tong sampah, serta peningkatan pusat kitar semula dan pemanfaatan teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu dipertimbangkan. – HARAKAHDAILY 6/3/2025

- Advertisement -