
KUALA LUMPUR: Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) meminta kerajaan menjelaskan sama ada Pusat Pemprosesan Makanan FAMA (PMMF) di Kuala Selangor masih beroperasi dalam pengeluaran santan.
Selain itu, beliau ingin tahu sejauh mana usaha penambahbaikan terhadap penyelidikan dan pembangunan (R&D) kelapa dijalankan.
“Sejauh mana kerajaan bercadang untuk menambah baik R&D dalam varieti kelapa tinggi hasil serta amalan agronomi yang boleh meningkatkan kecekapan pengeluaran?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab soalan itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata kerajaan sedang merancang penubuhan lembaga baharu yang diharapkan dapat memperkemaskan usaha dalam sektor penanaman kelapa.
“Pada masa akan datang, memang jauh lagi kerana kita masih banyak mengimport dari Indonesia. Jika Indonesia menghadapi masalah kenaikan harga, bakal berlaku kenaikan harga santan di Malaysia,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 6/3/2025




















