MB jelaskan sebab hanya miliki 35 peratus saham

Dalam Kilang Padi dan Beras Darulnaim

- Advertisement -

KOTA BHARU: Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud menjelaskan kenapa kerajaan negeri hanya mempunyai 35 peratus pegangan saham dalam Kilang Padi dan Beras Darulnaim di Meranti Pasir Mas.

- Advertisement -

Beliau berkata, menjadi hasrat kerajaan negeri untuk memiliki kemudahan pusat pemprosesan padi direalisasikan menerusi kerjasama strategik Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB), salah satu anak syarikat PKINK.

Bagaimanapun pihaknya tidak mempunyai pegangan yang lebih besar kerana tapak itu sudah dimiliki oleh syarikat pelabur (bukan Bumiputera) yang membelinya dari Koperasi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

Menurutnya beliau kesal penjualan tersebut tidak dimaklumkan kepada pihak berkuasa negeri, malah kerajaan negeri mengetahui perkara itu ketika proses pertukaran hak milik dilakukan antara kedua-dua pihak.

“Sebenarnya kilang itu kepunyaan Koperasi KADA, dia jual kepada syarikat yang disebut tadi, KADA bukan di bawah kerajaan negeri, tetapi ambil tanggungjawab selamatkan dari dipunyai 100 peratus oleh syarikat tadi.

“Orang kotorkan kita cuci, jadi setelah dirunding maka syarikat ini setuju kita beli saham 35 peratus, kita nak ambil semua tidak boleh kerana hak dia, jadi puncanya Koperasi KADA, ini tak sepatut berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Dalam soalan itu, Mohd Syahbuddin menyentuh mengenai tiga entiti yang menjadi pemegang saham terbesar dalam kilang padi tersebut, bahkan kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan bangunkan kemudahan terbabit.

Terdahulu Mohd Nassuruddin (PN-Meranti) yang juga Pengerusi PKINK menjelaskan sebanyak empat anak syarikat PKINK yang mencatatkan keuntungan bagi tiga tahun kewangan terkini bermula 2022 sehingga 2024.

Antara syarikat itu seperti Permodalan Kelantan Berhad (PKB) mencatatkan keuntungan pada 2022 sebanyak RM24 juta, 2023 (RM26 juta) dan 2024 (RM28 juta) kemudian diikuti oleh syarikat Infra Quest Sdn Bhd.

Bermula pada tahun 2022 syarikat itu mencatatkan keuntungan sebanyak RM25 juta, pada 2023 (RM29 juta) dan 2024 (RM31 juta), yang mencatatkan keuntungan saban tahun, sementara ketiga Ladang Sungai Terah 2022 (RM12 juta).

Tahun 2023 (RM4 juta) dan 2024 (RM15 juta) serta Ladang Tapis Sdn Bhd pada 2022 keuntungan RM3 juta, 2023 (RM810,004) dan pada 2024 syarikat itu berjaya mengutip keuntungan sebanyak RM4 juta. – HARAKAHDAILY 23/7/2025

- Advertisement -