JAN: Kredibiliti dan kebebasan audit, advokasi dipertikai

Terlibat program ‘Santuni Madani’?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) membangkitkan kebimbangan terhadap penglibatan Jabatan Audit Negara dalam program kerajaan bertemakan ‘Santuni Madani’ yang menurutnya boleh menjejaskan prinsip asas kebebasan dan integriti institusi audit negara.

- Advertisement -

Dr Radzi berucap dalam sesi Perbahasan Laporan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat hari ini menegaskan bahawa konsep ‘auditor independence’ atau kebebasan juru audit adalah teras kepada kredibiliti sesuatu laporan audit.

“Juru audit bukan sahaja perlu bebas dalam pemikiran, tetapi juga perlu dilihat bebas oleh masyarakat. Ini penting bagi mengekalkan kepercayaan umum terhadap hasil audit yang dikeluarkan.

“Dalam erti kata lain, Jabatan Audit Negara ‘must be independent in both facts and appearance’,” katanya yang juga bekas pensyarah pengauditan di Australia.

Beliau turut mempersoalkan penglibatan Jabatan Audit Negara dalam promosi program ‘Santuni Madani’ yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai di Taman Tasik Taiping, di bawah seliaan ICU Jabatan Perdana Menteri.

“Bagaimana Jabatan Audit Negara hendak mengaudit program Santuni Madani yang mereka sendiri turut terlibat sebagai pelaksana dan promosi kepada program tersebut. Ini adalah ‘advokasi track’ atau dalam bahasa Melayunya disebut ancaman advokasi kepada kebebasan juru audit.

“Ini adalah ‘self review track’ iaitu disebut sebagai ancaman semakan sendiri. Maknanya mereka semak benda yang mereka buat,” jelasnya yang juga Naib Presiden BERSATU.

Menurut beliau, ini boleh diibaratkan seperti pelajar yang diminta menyemak tugasan sendiri, pasti akan cenderung memberi markah tinggi kepada diri sendiri.

Dr Radzi turut menegaskan bahawa penjawat awam termasuk warga pendidikan dan guru semakin dibebani dengan pelbagai program bertemakan ‘Madani’ yang menurutnya bersifat politik, dan menyeru supaya agensi profesional seperti Jabatan Audit Negara tidak dijadikan alat promosi politik kerajaan.

“Saya mohon Ketua Audit Negara membuat keputusan segera untuk menghentikan penglibatan dalam program Santuni Madani, demi mempertahankan kredibiliti dan integriti jabatan itu,” katanya.

Tambah beliau, pengalaman sebagai bekas Menteri Pendidikan semasa pentadbiran ‘Keluarga Malaysia’ menunjukkan bahawa penjawat awam perlu bebas daripada sebarang unsur politik dalam pelaksanaan tugas.

Radzi juga menyindir tindakan kerajaan kini yang menurutnya mencampuradukkan agensi kerajaan dengan elemen politik, dan menggesa semua pihak termasuk Ketua Audit Negara supaya ‘jangan takut’ untuk mempertahankan prinsip. – HARAKAHDAILY 23/7/2025

- Advertisement -